Berita UtamaDunia

Suu Kyi hadir ke mahkamah kali pertama sejak rampasan kuasa

Perbicaraan di mahkamah sebelum ini hanya menerusi video

YANGON, 12 Syawal 1442H, Isnin – Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi hari ini hadir ke mahkamah buat kali pertama, sejak junta tentera menahannya selepas rampasan kuasa pada 1 Februari lalu.

Salah seorang peguamnya, Min Min Soe berkata, Suu Kyi telah bertemu dengan pasukan pembelaan sebelum perbicaraannya didengar di mahkamah di ibu negara, Naypyitaw.

Pada masa sama, para peguam juga bertemu dengan bekas Presiden U Win Myint, yang turut menghadapi pertuduhan sama.

Sebelum ini, Suu Kyi yang juga Kaunselor Negara telah dituduh dengan beberapa kesalahan jenayah, tetapi beliau hanya dibicarakan di mahkamah melalui video secara langsung selain tidak dibenarkan bertemu dengan mana-mana peguamnya.

Perbicaraan pada Isnin memfokuskan beberapa perkara daripada enam pertuduhan yang dihadapi Suu Kyi.

Antaranya termasuk tuduhan melanggar Undang-Undang Pengurusan Bencana Alam, dengan tidak mematuhi peraturan COVID-19 ketika kempen pilihan raya 2020.

Dalam pertuduhan sama, Suu Kyi didakwa secara haram mengimport walkie-talkie bagi kegunaan pengawalnya, penggunaan radio tanpa izin serta menyebarkan maklumat yang boleh menyebabkan cemas atau rusuhan orang ramai.

Selain itu, tuduhan paling serius yang dihadapi Suu Kyi adalah melanggar Akta Rahsia Rasmi era kolonial, yang membawa hukuman penjara hingga 14 tahun.

Sabit kesalahan juga boleh mengakibatkan beliau terbatal daripada mencalonkan diri dalam pilihan raya, yang dijangka akan diadakan dalam tempoh satu atau dua tahun selepas beliau digulingkan.

Tentera Myanmar melancarkan kudeta 1 Februari lalu, mendakwa berlaku penipuan semasa pilihan raya 8 November 2020 sekali gus menyebabkan negara ini dicengkam ketegangan politik.

Tentera menahan beberapa pegawai dan pemimpin parti pemerintah, termasuk Suu Kyi selain mengisytiharkan darurat selama setahun.

Pegawai tinggi yang ditahan dihadapkan ke mahkamah tentera, ketika demonstrasi terus berleluasa.

Kumpulan penyokong Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP) berkata, keganasan terus meningkat sejak rampasan kuasa dan pasukan keselamatan membunuh lebih 760 orang awam setakat awal bulan ini. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button