Berita Utama

Bekas pengurus MARDI didakwa pecah amanah

Tertuduh mengaku tidak bersalah tak serah wang sewa kiosk

KUALA TERENGGANU, 13 Syawal 1442H, Selasa  – Bekas pengurus Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah berjumlah RM14,250, dua tahun lalu.

Tertuduh Mohd Saiful Nizam, 40, didakwa melakukan kesalahan itu dengan tidak menyerahkan wang pembayaran sewa kiosk selama sembilan bulan berserta deposit kepada Bahagian Kewangan MARDI Kuala Terengganu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat MARDI Kuala Terengganu antara Januari hingga September 2019 dan didakwa Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Dazuki Ali menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan serta menyerahkan pasport  antarabangsa kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan  Pegawai Pendakwa SPRM Nur Athikah Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Jun ini untuk sebutan semula kes. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button