Berita Utama

Kemalangan LRT akibatkan cedera parah pertama kali berlaku

47 cedera parah, 166 cedera ringan dalam kejadian semalam

KUALA LUMPUR, 13 Syawal 1442H, Selasa – Projek Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) pertama di ibu negara memulakan operasinya pada Disember 1996 dengan Fasa 1 menghubungkan Ampang dan Sultan Ismail.

Dikenali sebagai STAR LRT, perkhidmatan itu turut ditawarkan bagi kawasan Sri Petaling. Kedua-duanya kini dinamakan semula sebagai Laluan Ampang dan Laluan Sri Petaling.

Selain itu, Lembah Klang juga mempunyai satu lagi perkhidmatan LRT untuk kawasan Petaling Jaya, dulu dikenali sebagai PUTRA LRT, iaitu Laluan Kelana Jaya.

LRT di Lembah Klang telah diusulkan sejak 1980-an apabila Kajian Pengangkutan Pelan Induk Kuala Lumpur mendapati ibu kota memerlukan sistem rel bersepadu untuk membaiki infrastruktur pengangkutannya.

Kini berperanan sebagai antara mod pengangkutan awam utama Lembah Klang, perkhidmatan ini juga tidak terlepas daripada insiden termasuk yang membabitkan kecederaan dan berikut adalah antara insiden melibatkan ketiga-tiga laluan sejak mula beroperasi:

• 27 Oktober 2006: Sebuah daripada gerabak STAR-LRT terbabas melewati benteng konkrit dan tergantung hampir 25 meter dari aras bumi semasa tren itu mahu berhenti di hentian terakhirnya di Stesen Sentul Timur, namun tiada penumpang di dalam enam gerabak tren itu.

• 24 November 2007 : Dua gerabak di bahagian tengah tren Star LRT tergelincir dari landasan ketika menghampiri Stesen Sentul Timur yang menyebabkan perkhidmatan tren di lima stesen dari Sentul Timur ke Sultan Ismail terjejas dan 10 penumpang terperangkap di dalam lima tren itu yang terkandas di beberapa lokasi namun tiada sebarang kecederaan.

• 24 September 2008: Empat penumpang cedera ringan apabila sebuah tren STAR-LRT melanggar belakang tren lain dan ketika kejadian kira-kira 300 penumpang berada di dalam kedua-dua tren terbabit.

• 22 Julai 2015: Insiden kerosakan brek di dua lokasi berasingan iaitu di Stesen Setiawangsa dan Universiti, bagaimanapun tiada kecederaan berlaku.

• 9 September 2017: Perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya mengalami gangguan membabitkan laluan Setiawangsa-KLCC menyebabkan penumpang terperangkap di dalam tren selama 20 minit.

• 24 Mei 2021: 47 orang penumpang cedera parah dan 166 orang cedera ringan dalam insiden pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya dalam kejadian di dalam terowong di antara Stesen Kampung Baru dan KLCC.

-Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button