Berita Utama

Nik Zawawi dilantik Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS baharu

Perkara tersebut disahkan oleh Mursyidul Am PAS

BANGI, 20 Rejab 1443H, Selasa – Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dilantik sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS yang baharu bagi menggantikan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Pengesahan tersebut dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin sambil berkata, pelantikan Nik Muhammad Zawawi itu diluluskan dalam mesyuarat majlis tersebut malam kelmarin.

“Ya, Nik Muhammad Zawawi dilantik Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS yang baharu dan telah diluluskan dalam mesyuarat Syura malam kelmarin.

“Pemilihan Ahli Parlimen Pasir Puteh itu juga sangat bertepatan memandangkan beliau juga merupakan ahli Majlis Syura Ulama.

“Diharapkan Nik Muhammad Zawawi dapat menjalankan tugas dengan baik,” katanya seperti dipetik Utusan Online, hari ini.

Ura-ura mengenai lantikan Nik Muhammad Zawawi tular di media sosial apabila bekas penyandang jawatan tersebut Mohd Khairuddin mengucapkan tahniah atas pelantikan berkenaan di Facebook miliknya, semalam.

“Sekalung tahniah diucapkan kepada Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makan II di atas pelantikan sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS yang baharu,” katanya.

Terdahulu, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha dan Ahli Majlis Syura Ulama PAS.

Mohd Khairuddin dilaporkan berkata, beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Majlis Syura PAS dibuat mengikut peruntukan Perlembagaan parti di bawah Fasal 8(7).

Pemecatan Mohd Khairuddin berlaku kira-kira sebulan selepas beliau disingkirkan daripada jawatan AJK PAS, Januari lalu.

Pemecatan berkenaan diumumkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan pengguguran mana-mana pemimpin adalah perkara biasa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button