Berita Utama

Masa PRU berebut beri bantuan, bila rakyat terhimpit COVID-19 sepi terus?

Rupanya bantuan dulu dari dana kerajaan bukannya harta sendiri

BANGI, 13 Syawal 1442H, Selasa – Jika dulu kuat berhujah bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mampu mengadakan Pilihan Raya Umum – dengan penyediaan prosedur operasi standard (SOP) yang baik – namun sekarang peminat PRU seolah-olah ‘menghilang’ ketika rakyat berdepan ancaman ‘tsunami’ COVID-19.

Ketua Perhubungan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kelantan, Ustaz Sharipudin Ab Kadir berkata, golongan berkenaan bukan calang-calang orang bahkan mereka pernah berkuasa dan petah berbicara.

“Kalau dulu ada yang berebut untuk hantar bantuan ke hulu hilir, tapi sekarang tak nampak bantuan dari mana-mana politik bila rakyat hidup terhimpit dengan COVID-19.

“NGO dan badan kebajikan serta sukarela sahaja masih meneruskan bantuan sekadar yang mampu. Kalau ada pun tidak seperti dulu.

“Rupanya mereka ni suka beri bantuan apabila hampir PRU. Rasanya kalau PRU dah dinyatakan tarikh secara jelas berbondong-bondong bantuan akan turun ke kampung-kampung mencari undi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan keberadaaan ‘kumpulan mewah’ yang memberi bantuan ketika ditampuk kuasa sebelum ini.

“Sekarang amat kurang. Rupanya bantuan dulu ambik dari dana kerajaan bukannya harta sendiri. Mereka hanya tukang yang menyampaikan.

“Bila tak berkuasa tiada modal untuk hulur bantuan. Jauh sama sekali untuk korbankan harta yang pernah dikumpulkan semasa berkuasa. Itu dah jadi milik persendirian. Anak cucu dan keturunannya sahaja yang berhak memiliki.

“Jelas rupanya sebahagian besar ahli politik Melayu Malaysia tiada agenda untuk agama, bangsa dan negara. Agenda mereka hanya untuk dapatkan undi semasa PRU. Dan jika menang bagaimana untuk mengekalkannya. Isu agama hanya pemanis kata. Isu bangsa dan negara hanya sebagai pelaris bicara,” sinisnya.

Tanpa menyebut mana-mana pihak, Ustaz Sharipudin berkata, ketika menjadi pembangkang, golongan berkenaan banyak agenda yang diperjuangkan.

“Sana tidak adil sini tidak adil. Bersahut-sahutan laungan perjuangan segenap pelosok tanah air. Mana keadilan untuk Adib. Arak haram perlu dihapuskan. Judi haram dan banyak lagi.

“Ada kumpulan lain jadi pembangkang. Asyik bangkang saja. Semua tak kena. Banyak pulak cadangan untuk dilaksanakan. Rupanya parti-parti Melayu Malaysia ada idea saja, bukan agenda ketika jadi pembangkang.

“Bila dapat kerajaan semua idea ‘dipasingkan’ kepada pembangkang baru. Begitulah secara bergilir-gilir macam filem Madu Tiga arahan Allahyarham P Ramlee,” sindirnya.

Bahkan beliau menganggap laungan pihak tersebut kononnya sebagai pejuang negara hanyalah perisa berbisa ketika berbicara.

“Tempik sorak sana sini kononnya laungkan perjuangan suci. Suci dalam debu. Rupanya tempikan mereka itu sebagai semboyan untuk kumpul harta lagi. Hampir semua harta negara yang dikeluarkan untuk rakyat perlu melalui tapisan mereka dengan pelbagai jenama. Sebab tu ramai di kalangan mereka masih dibicara.

“Itupun masih bertempik sana sini kami adalah pejuang negara. Masih tidak malu menyatakan jika kami diberi peluang memerintah semula kami akan bela agama. Kami akan bela bangsa. Itu semuanya perisa berbisa ketika berbicara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button