Berita Utama

Vaksin: Kerajaan jamin tidak sisih OKU

Suntikan akan diberi kepada semua rumah jagaan OKU termasuk tak berdaftar

KUALA LUMPUR, 13 Syawal 1442H, Selasa – Kerajaan memberi jaminan tidak akan menyisihkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mendapat vaksin COVID-19, walaupun mereka tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, ini bukan masanya untuk mengira status pendaftaran, sebaliknya keutamaan kerajaan kini ialah usaha memastikan golongan OKU di negara ini menerima vaksin berkenaan.

“Kita tidak akan tinggal sesiapapun di belakang. Saya dah buat ketetapan kita akan bagi suntikan vaksin ini kepada semua rumah jagaan OKU termasuk yang tak berdaftar dengan JKM, oleh itu bagi pusat jagaan OKU yang tidak berdaftar kita tidak akan ambil tindakan, mereka tidak perlu takut ke depan untuk dapatkan vaksin ini,” katanya dalam satu sidang Maya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bersama komuniti OKU.

Komuniti OKU diwakili oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi, yang juga merupakan Pengerusi BERNAMA.

Ras Adiba berkata, sehingga Disember tahun lepas terdapat 52 rumah jagaan OKU di negara ini tidak berdaftar dengan JKM dan jika mengambil kira populasi penduduk dengan 15 peratus adalah OKU, dengan jumlah hanya 600,000 OKU yang berdaftar dengan JKM, bermakna masih terdapat kira-kira empat juta OKU di negara ini yang tidak berdaftar.

Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata setakat ini, selaras dengan jadual vaksinasi fasa kedua program vaksinasi yang melibatkan golongan OKU, proses itu telah bermula dengan usaha penghantaran unit bergerak ke pusat-pusat jagaan OKU.

Usaha itu juga termasuk penubuhan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia di Brickfields dan penyediaan kemudahan ‘calming room’ di pusat jagaan bagi Neurodiversity untuk pemvaksinan golongan autisme.

Khairy berkata, bagi OKU cacat pendengaran Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengadakan libat urus dengan jurubahasa bagi membantu menyampaikan mesej dan maklumat untuk pendaftaran vaksin.

“Kita juga akan memang ada outreach program vaksin untuk orang asli, kita akan masuk ke pos-pos mereka, vaksin golongan ini termasuklah golongan OKU, ini kita tak perlu tunggu fasa 2 atau fasa 3, pada bila-bila masa kita dah masuk ke sana (kawasan orang asli),” katanya yang juga akan mempertimbangkan cadangan pemberian vaksin kepada OKU yang sedang belajar di dalam kampus Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk anak-anak OKU kakitangan IPT.

Bagi cadangan Ras Adiba untuk pemberian vaksin kepada penjaga OKU, Khairy berkata, ia akan diputuskan pada mesyuarat Khamis ini.

Manakala bagi golongan yang menghidapi penyakit jarang jumpa, Khairy berkata, mereka disaran ke PPV Khas di hospital bagi mendapatkan nasihat pakar atau pra-vaksinasi sebelum mendapatkan temujanji untuk vaksinasi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button