Berita Utama

2 pemimpin UMNO salahkan Zahid jika rakyat marah pada parti

Presiden 'lemah' gagal arah ahli dalam jemaah menteri keluar kerajaan PN

BANGI, 14 Syawal 1442H, Rabu – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah individu yang perlu dipersalahkan atas kemarahan rakyat terhadap ahli parti itu yang menganggotai jemaah menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan seorang lagi pemimpin UMNO yang tidak didedahkan namanya.

Kedua-dua pemimpin terbabit mendakwa, Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab terhadap kemarahan rakyat ke atas parti itu ketika ini, kerana tidak mengarahkan ahli parti dalam jemaah menteri untuk meninggalkan kerajaan – yang berdepan kritikan dalam mengendalikan krisis COVID-19 dan ekonomi.

Mohamed Nazri berkata, beliau tidak setuju menteri dari UMNO tidak patut dipersalahkan atas kegagalan kerajan kerana keputusan jemaah menteri dibuat secara kolektif.

“Jika ada sesiapa yang boleh dipersalahkan, orangnya adalah Zahid. Beliau tidak boleh salahkan rakyat marah dengan menteri UMNO kerana beliau sendiri tidak mengarahkan menteri berkenaan keluar daripada jemaah menteri.

“Kegagalan beliau berbuat demikian menunjukkan kepimpinannya yang lemah dan pengecut,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid cuba mempertahankan UMNO dengan mendakwa parti itu tidak sepatutnya dipersalahkan atau dikaitkan dengan kegagalan kerajaan, kerana ia tidak terbabit dalam keputusan mana-mana dasar negara.

Ini kerana, ada pihak yang mempertikaikan UMNO sepatutnya dipersalahkan dalam situasi pandemik semakin buruk, program vaksinasi yang perlahan selain sekatan yang tidak dirancang dengan sempurna.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin tertinggi UMNO mendakwa, beliau risau kemarahan rakyat terhadap kerajaan akan memberi kesan kepada parti.

“Zahid mesti berani dan arahkan mereka berhenti (daripada kerajaan). Mungkin beliau takut menteri-menteri UMNO tidak akan dengar cakapnya, dan ini akan lebih menunjukkan kelemahan beliau.

“Namun, UMNO yang akan menanggung akibat kelemahan kepimpinannya. Jika rakyat marah dengan kerajaan, kita akan turut terkait,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button