Pendapat

Percubaan menormalisasi jenayah memikat isteri orang

Adakah kita bersedia melemparkan sistem nilai hanya untuk memuaskan segelintir individu?

DI tengah-tengah keghairahan sebahagian rakyat Malaysia ‘berkabung’ atas kematian seorang permaisuri sebuah empayar yang pernah menjajah dan menjarah sebahagian dunia satu masa dahulu (yang merupakan simbol kepada kezaliman dan keangkuhan serta masih lagi ‘dipuja’ oleh para pentaksubnya), satu berita yang lebih penting telah terlepas dari radar keprihatinan masyarakat.

Berita ini adalah mengenai seorang bekas anggota polis yang telah memfailkan permohonan ke Mahkamah Rayuan mengenai pensabitan satu pendakwaan ke atas beliau.

Apa yang peliknya tentang permohonan ini?

Beliau memfailkan permohonan bagi mendapatkan deklarasi bahawa kesalahan memikat wanita yang sudah berkahwin dengan niat melakukan persetubuhan terlarang (di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan) adalah bercanggah dengan Perlembagaan.

Seksyen 498 Kanun Keseksaan memperuntukkan –

Barang siapa membawa atau memilkat pergi mana-mana perempuan yang menjadi dan yang dia ketahui, atau ada sebab mempercayai, sebagai isteri mana-mana lelaki lain, daripada lelaki itu, atau daripada mana-mana orang yang bertanggungan menjaga perempuan itu bagi pihak lelaki itu, dengan niat supaya perempuan itu boleh melakukan persetubuhan yang ditegah dengan mana-mana orang, atau barang siapa menyembunyikan, atau menahan dengan niat itu seseorang perempuan tersebut, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua­ duanya.

Alasan bekas anggota polis itu mudah:

Seksyen 498 Kanun Keseksaan itu kononnya menyekat kebebasan peribadinya dan hanya mendiskriminasikan lelaki!

Peruntukan Perlembagaan yang digunakan sebagai hujah sokongan ialah Perkara 5 (1) dan 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 5. Kebebasan diri
(1) Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.

Perkara 8. Kesamarataan.
(1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Saya tidak ingin menyentuh tentang merit atau kekuatan rayuan pihak tertuduh ini kerana permohonan ini belum dibicarakan lagi.

Yang lebih menggusarkan ialah bagaimana jenayah memikat seorang isteri yang masih bersuami cuba dinormalisasikan sebagai satu pelanggaran terhadap kebebasan peribadi dan pencabulan hak asasi dan diskriminasi terhadap lelaki!

Bagaimanakah keadaan sebuah institusi rumahtangga nanti apabila mana-mana orang asing atau pihak ketiga begitu gampang cuba merosakkan keharmonian rumahtangga sepasang suami isteri dengan rasa tidak bersalah atau berdosa?

Saya berpandangan bahawa mesej tersirat yang ingin disampaikan melalui permohonan ini (sekiranya berjaya) ialah tidak mengapa bagi seseorang lelaki cuba merosakkan hubungan sepasang suami isteri, tidak mengapa kalau lelaki tersebut “meruntuhkan” institusi keluarga yang terhormat, tidak mengapa untuk mempermainkan maruah seorang wanita yang bergelar isteri dan tidak mengapa melakukan jenayah yang mensasarkan isteri orang … kerana perbuatan tersebut akan dilindungi undang-undang!

Dalam keadaan segelintir masyarakat (termasuk umat Islam) semakin galak untuk mencabar kedaulatan Syari’at Islam dan melonggarkan ikata-ikatan Islam dari tubuh umat dan bangsa, kita kini berhadapan dengan satu lagi percubaan untuk melakukan jenayah terhadap wanita dengan berselindung di sebalik hujah songsang hak asasi, kebebasan dan diskriminasi terhadap diri si penjenayah tersebut.

Memandangkan rayuan telah difailkan, adalah menjadi harapan kita supaya Mahkamah tidak meraikan percubaan untuk menormalisasikan perbuatan jenayah atau membuka ruang dan peluang kepada percubaan-percubaan serupa demi menyelamatkan masyarakat dari dijangkiti virus kesongsangan ini.

Kita bimbang sekiranya mahkamah membenarkan rayuan untuk menormalisasikan perbuatan jenayah atas hujah hak asasi dan kebebasan individu serta diskriminasi, maka tidak ada lagi yang akan menghalang 1001 perbuatan-perbuatan yang diklasifikasikan sebagai jenayah dari diterima sebagai sesuatu yang normal bagi masyarakat dan rakyat.

Dunia Barat telah menghalalkan perbuatan liwat, seks dengan binatang, pembedahan/penukaran jantina, zina secara terang-terangan, penukaran agama secara bebas dan ada yang malah telah memaksakan pembelajaran seks sejak peringkat tadika lagi.

Adakah kita bersedia melemparkan sistem nilai, budaya, jati diri dan kerangka pemikiran Islam/Ketimuran kita hanya untuk memuaskan kehendak segelintir individu yang terlalu kemaruk dengan amalan-amalan yang bertunjangkan ideologi kufur, hawa nafsu dan sistem nilai kehaiwanan bertopengkan hak asasi dan kebebasan individu?

Sebelum ini umat Islam telah digemparkan dengan percubaan bertaliarus untuk menormalisasikan amalan LGBT, murtad dan seumpamanya yang didokong oleh aktivis-aktivis hak asasi dan penggerak fahaman liberal. Gerakan ini tidak segan silu cuba memaksakan agenda mereka secara halus melalui sistem slogan kesamarataan dan kebebasan yang kononnya diiktiraf oleh Perlembagaan.

Percubaan terkini yakni untuk menghapuskan ciri-ciri jenayah daripada percubaan memikat isteri orang merupakan satu lagi usaha untuk menjayakan agenda liberal dan menormalisasikan perbuatan memporakporandakan ikatan perkahwinan dan institusi kekeluargaan. Permohonan serupa ini sudah tentu dialu-alukan oleh pihak-pihak yang tidak mahu negara atau undang-undang campur tangan untuk menyekat kebebasan melakukan jenayah.

Sekali lagi, kita menaruh harapan yang tinggi supaya mahkamah dan sistem kehakiman negara menolak permohonan toksik di atas demi memelihara tunjang akhlak yang dihayati oleh masyarakat selama ini.

Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi iPeguam/Pemerhati politik

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button