Berita Utama

Lebih 10,000 individu tak hadir janji temu vaksin di Kedah

Jumlah babitkan 35 peratus daripada 30,100 individu telah mendaftar

ALOR SETAR, 14 Syawal 1442H, Rabu – Seramai 10,827 individu yang mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di negeri ini tidak hadir untuk menerima suntikan vaksin antara 19 April hingga 22 Mei lepas.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata jumlah itu membabitkan 35 peratus daripada 30,100 individu yang telah mendaftar dan diberikan janji temu menerusi aplikasi MySejahtera bagi fasa dua pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Jumlah itu membabitkan individu-individu yang sepatutnya datang dan menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam, PPV Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM), PPV klinik swasta dan PPV hospital swasta.

“Bagaimanapun, vaksin itu diberikan kepada senarai menunggu yang memenuhi kriteria fasa dua iaitu kumpulan warga emas dan penghidap penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes, masalah jantung dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan antara alasan diberikan ialah bimbang dan belum bersedia menerima suntikan vaksin selain kurang sihat, sedang menjalani kuarantin, berada di luar kawasan, tidak mempunyai kenderaan untuk hadir ke PPV dan ingin menukar tarikh janji temu pada saat akhir.

Dr Mohd Fikri berkata untuk itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengambil pendekatan membuat hebahan menerusi laman media sosial bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan dan kebaikan vaksinasi kepada penerima, dalam usaha meningkatkan kehadiran untuk janji temu.

Sementara itu, katanya hingga 24 Mei lepas seramai 579,526 atau 37.6 peratus daripada 1,541,160 yang layak menerima suntikan vaksin COVID-19, telah mendaftar di negeri ini.

“Bilangan yang menerima suntikan dos pertama hingga 24 Mei lalu adalah seramai 91,349 (15.76 peratus) daripada jumlah mereka yang mendaftar.

“Saya juga ingin mengingatkan dan menasihati masyarakat di Kedah supaya mengamalkan kawalan pergerakan kendiri, mengurangkan kekerapan keluar rumah serta mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak ini,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button