Berita Utama

Malaysia dibimbangi tak mampu lagi beri perkhidmatan kesihatan berkualiti: Pakar

Hanya ada 2 pilihan, ‘do or die’ selamatkan sektor ekonomi atau kesihatan?

BANGI, 14 Syawal 1442H, Rabu – Pakar perubatan menyuarakan kebimbangan terhadap sistem kesihatan Malaysia yang mungkin terkompromi atau mengalami masalah, di mana ia bukan sahaja tidak mampu memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pesakit yang dijangkit COVID-19 tetapi juga kepada pesakit yang menderita masalah lain dalam waktu agak kritikal sebegini.

Pakar perubatan kesihatan awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Malina Osman berkata, tragedi melibatkan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara, kelmarin dilihat sebagai petanda kepada satu keadaan yang membimbangkan.

“Apabila pesakit kecemasan datang dan hospital telah penuh, mungkin kakitangan kesihatan tak dapat nak memberikan rawatan sepenuhnya.

“Bagaimanapun, sistem kesihatan kita ketika ini masih berfungsi dengan optima, cuma kita harap tekanan dapat dikurangkan dengan penurunan kes seperti mana yang kita harapkan melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam program Agenda Pertiwi yang disiarkan TV Pertiwi, semalam.

Beliau menegaskan, petugas barisan hadapan terutama petugas kesihatan tidak meminta supaya prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan, tetapi yang diminta adalah PKP secara menyeluruh selama dua minggu sahaja, dan bukan dalam tempoh beberapa bulan.

Ini kerana, katanya, dalam konteks sekarang ini, permintaan daripada petugas kesihatan awam adalah untuk melegakan sistem perkhidmatan kesihatan yang tertekan.

“Dari segi untuk mengurangkan penularan kes, kita masih ada sistem peraturan sedia ada melalui SOP. Tetapi buat masa ini PKP menyeluruh yang kita harapkan itu adalah untuk membantu sistem perkhidmatan kesihatan berfungsi dengan lebih baik serta mengelakkan kelumpuhan yang sangat kita bimbangkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, daripada segi kawalan penyakit, ia memerlukan dua hingga tiga bulan untuk menurunkan kes hingga ke satu atau dua angka.

“Pada masa ini dengan kes aktif dalam lingkungan lima angka kita menghadapi keadaan yang agak letih untuk menurunkannya semula.

“Pendapat saya, pada keadaan sekarang ada dua pilihan ‘do or die’. Sama ada menyelamatkan ekonomi atau mengorbankan kesihatan, atau sebaliknya. Salah satu akan terkorban.

“Tetapi kami dalam konteks petugas kesihatan ini, memang akan terus bersungguh-sungguh menyelamatkan nyawa. Kalau kehilangan nyawa, tak boleh revive dah. Tetapi kalau ekonomi, seseorang itu dia masih boleh meneruskan kesinambungannya,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Marlina berkata, dalam tempoh setahun ini, perlu juga ada ‘back up’ dari segi sistem pengurusan.

“Kalaulah memang kerajaan mengutamakan ekonomi, kenapa dalam polisi vaksin tidak memberikan keutamaan kepada mereka yang merupakan pemegang taruh dalam sektor ekonomi.

“Mereka yang terlibat dengan kluster baru, kita lihat banyak dari sektor tempat kerja, kenapa polisi tidak boleh berubah kepada pemvaksinan pekerja, sebab mereka ini juga menjadi punca penularan kepada ibu bapa yang berada di kampung. Jadi keadaan macam ini menimbulkan banyak persoalan pada pihak kerajaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button