Berita Utama

Mangsa kemalangan LRT layak terima faedah PERKESO

KSM sedia bantu proses tuntutan faedah mangsa dengan kadar segera

BANGI, 14 Syawal 1442H, Rabu – Mangsa kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya Isnin lalu, yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) layak menerima bantuan faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan.

Ini kerana, di bawah Akta 4, PERKESO menyediakan perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan ketika sedang bekerja atau ketika perjalanan pergi dan balik dari kediaman dan tempat kerja menerusi Skim Bencana Pekerjaan.

Sementara, bagi mangsa yang terdiri daripada Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang berdaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bawah Akta 789, juga layak memohon faedah-faedah PERKESO jika kemalangan berlaku sewaktu mereka menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kementeriannya melalui PERKESO sedia membantu mangsa-mangsa kemalangan tren LRT yang layak dengan faedah-faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

“Antara manfaat yang disediakan kepada mangsa-mangsa kemalangan yang layak di bawah kedua-dua akta tersebut adalah rawatan perubatan percuma di klinik panel PERKESO atau klinik dan hospital kerajaan menerusi Faedah Perubatan.

“Selain itu, mereka yang diberi cuti sakit yang disahkan oleh doktor akan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh cuti sakit mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saravanan berkata, jika terdapat mangsa yang disahkan mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkan hilang upaya kekal, mereka akan dibantu dengan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) dan Kemudahan Pemulihan Jasmani.

“Mengambil kira keadaan mangsa yang cedera dan mungkin sedang menjalani rawatan, saya menyeru majikan ataupun ahli keluarga mangsa supaya segera mengemukakan tuntutan permohonan faedah di mana-mana pejabat PERKESO berdekatan.

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa kemalangan ini dan berharap agar semua mangsa segera pulih daripada kecederaan yang dialami,” katanya.

Beliau berkata, KSM dan PERKESO juga komited untuk memproses tuntutan faedah mangsa-mangsa kemalangan dan memastikan segala bantuan disalurkan dengan kadar segera.

“Untuk sebarang urusan dan pertanyaan lanjut, sila hubungi nombor careline PERKESO di 1-300-22-8000 atau e-melkan kepada [email protected],” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button