Orang ramai kecewa gagal daftar slot vaksin AstraZeneca
Kegagalan teknikal undang rungutan para pemohon pusingan kedua

BANGI, 14 Syawal 1442H, Rabu – Rata-rata netizen meluahkan rasa kecewa ekoran kegagalan menembusi laman web untuk menempah slot dalam Inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca pusingan kedua yang dibuka tengah hari ini.
Meskipun telah menunggu lebih awal daripada waktu yang ditetapkan iaitu 12 tengah hari, laman web tersebut mengundang kekecewaan apabila Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi Twitter berkata, pendaftaran ditangguhkan selama 15 minit kerana pasukan teknikal berusaha untuk mengemas kini laman web tersebut.
“Halaman tempahan masih dikemas kini. Anda boleh mula menempah slot anda pada jam 12.15 tengah hari. Mohon maaf atas kesulitan itu,” ciapnya di laman Twitter, hari ini.
Ketika pemohon cuba mengakses laman web ini sekitar jam 12.15 tengah hari, ada yang menerima pemberitahuan mengatakan bahawa mereka telah disekat dari laman pendaftaran di www.vaksincovid.gov.my dan ada juga menerima mesej menunjukkan terdapat terlalu banyak permintaan untuk mengaksesnya.
Laman web ini akhirnya dapat diakses sekitar jam 12.20 tengah hari tetapi masalahnya tidak berakhir di situ, kata The Star.
Terdapat rungutan daripada pemohon kerana tidak dapat memilih slot kerana petak dan tarikh janji temu tidak berfungsi ketika pemohon mengklik di negeri masing-masing.
Terdapat juga aduan pemohon yang tidak menerima mesej setelah menyelesaikan pendaftaran, membuat mereka tertanya-tanya apakah permohonan mereka telah selesai.
Namun, ada yang berjaya mendaftar. Hampir jam 1 tengah hari, JKJAV menulis ciapan bahawa lebih daripada 300,000 daripada satu juta slot untuk direbut hari ini telah penuh.
Bagaimanapun, selepas kira-kira sejam, tempahan janji temu untuk pusingan kedua dilaporkan sudah pun ditutup.
“Mereka yang layak akan menerima janji temu dalam masa terdekat. Terima kasih bagi mereka yang mendaftar untuk membantu negara mencapai imuniti kelompok,” katanya.