Berita Utama

Tak pakai pelitup muka, polis siasat Tajuddin

Kertas siasatan akan diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya

KUALA LUMPUR, 14 Syawal 1442H, Rabu – Polis menyiasat Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang didakwa tidak memakai pelitup muka pada sidang akhbar berkaitan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT), semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilakukan Tajuddin sudah dimulakan pada hari sama.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Kesemua yang terlibat dalam kes ini akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk beri keterangan dalam masa terdekat.

“Kertas siasatan akan diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya apabila siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tegasnya, kegagalan mematuhi SOP ini membolehkan tindakan diambil di bawah undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Semalam, Tajuddin pada sidang media selepas melawat lokasi dua tren LRT bertembung dalam terowong berhampiran KLCC, di sini, dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button