Berita Utama

Pihak berwajib jangan lepas tangan insiden kren jatuh: ISMA

Pastikan insiden ngeri sama tidak lagi berulang di negara ini

BANGI, 9 Syaaban 1442H, Selasa – Pihak bertanggungjawab diminta untuk mengambil tindakan tegas berhubung insiden komponen kren terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), semalam.

Ini kerana rakyat pastinya tidak mahu insiden yang meragut tiga nyawa warga China itu berulang kembali pada masa hadapan.

Selain itu, gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berharap, pihak yang terbabit dalam tragedi ngeri berkenaan sama sekali tidak dilepaskan.

“Tidak sudah-sudah tragedi seperti ini berlaku. Harapnya tidak ada pihak yang berlepas tangan,” kata ISMA dalam catatan di Facebook.

Terdahulu, tiga pekerja warga China maut manakala seorang pemandu cedera parah susulan insiden satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras, pagi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, tiga pekerja projek pembinaan tersebut yang berasal dari China dikenali sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng.

“Mayat Ding dan Jiang berjaya dikeluarkan pihak bomba pada 11.30 pagi tadi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan. Kerja mengeluarkan mayat Mu yang terhimpit di antara struktur besi masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu kira-kira 8.45 pagi dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras, BBP Tun Razak dan BBP Hang Tuah dikerahkan ke tempat kejadian.

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button