Berita Utama

Patuh SOP sementara capai tahap imuniti kelompok

'Total lockdown' jejas ekonomi negara, rakyat

BANGI, 15 Syawal 1442H, Khamis – Semua pihak perlu memainkan peranan dalam memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang ketika ini merekodkan kes lebih 7,000 sehari.

Dalam hal ini, kita tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata, kata Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin.

“Apa lebih penting adalah disiplin diri kita sendiri untuk mematuhi SOP ditetapkan sementara mencapai tahap imuniti kelompok yang dijangkakan berlaku akhir tahun ini.

“Apabila imuniti kelompok sudah dicapai, SOP ini boleh dilonggarkan sedikit dan fokus terhadap proses pemulihan dan reformasi ekonomi dapat dilakukan sepenuhnya,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Selain itu, beliau turut mengulas mengenai keputusan kerajan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh atau ‘total lockdown’ seperti dibuat pada Mac tahun lalu.

“Kenapa PKP pertama seperti Mac tahun lalu tidak dilaksanakan kali ini? Pertama, jelas impaknya kepada ekonomi negara dan rakyat amat teruk sekali.

“Pertumbuhan ekonomi negara menguncup pada kadar 17.2 peratus pada suku kedua 2020. Malah, pada April 2020 sahaja, ekonomi negara sudah menyusut pada kadar 28.8 peratus, antara terburuk dalam sejarah negara.

“Apabila pertumbuhan ekonomi menguncup, satu daripada kesan langsung yang akan dialami ekonomi adalah peningkatan kadar pengangguran. Ia meningkat daripada 3.2 peratus pada Januari 2020 kepada 5.3 peratus pada Mei 2020,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ekonomi Malaysia juga mengalami fenomena deflasi, iaitu kadar inflasi negatif, yang antara lain mengakibatkan pengurangan dalam kadar pendapatan rakyat dan pelaburan perniagaan berkurangan, sekali gus mengakibatkan kurang peluang pekerjaan dan pelaburan baharu dalam ekonomi.

“Keadaan ekonomi rakyat juga mendapat hambatan dahsyat, dengan ramai hilang pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian akibat penutupan aktiviti ekonomi seperti PKP kali pertama itu.

“Golongan M40 jatuh ke tahap B40, manakala yang miskin bertambah miskin.

“Penutupan aktiviti ekonomi seperti PKP pertama ini sebenarnya seperti ekonomi itu dimasukkan dalam peti ais. Ia mengakibatkan berlaku kejutan dalam permintaan dan penawaran, memutuskan rantaian bekalan industri secara menyeluruh,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button