Berita Utama

Perkembang ilmu penyelidikan mampu hasilkan ramuan baharu sistem pendidikan

Pembuat dasar perlu duduk semeja, proaktif cipta solusi sesuai keperluan semasa

BANGI, 15 Syawal 1442H, Khamis – Pengembangan ilmu penyelidikan berkaitan pendidikan – khususnya selepas berlaku COVID-19 – amat diperlukan bagi membangunkan sistem pendidikan negara yang lebih kukuh dan berdaya saing dalam dunia berasaskan digital.

Melalui pemfokusan ini, ia mampu menghasilkan ramuan baharu dalam sistem pendidikan negara, kata Felo Penyelidik Kanan Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Sobhi Ishak serta Ketua Pegawai Operasi Lembaga Pengurusan Sekolah Zakat Kedah, Dr Mohd Faisal Mustaffa.

Atas dasar itu, kedua-duanya menyarankan graduan pendidikan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan universiti awam (UA) bersinergi mengukuhkan sistem pendidikan yang ada dalam negara.

Katanya, gandingan pensyarah IPGM dan guru di sekolah yang terbabit secara langsung dalam bidang pendidikan rendah dan menengah bersama dengan pensyarah dan penyelidik pada peringkat universiti, perlu distrategikan semula bagi mengelak berlaku persaingan sehingga menyebabkan kerugian kepada sistem pendidikan negara.

“Ia seterusnya merugikan pembangunan modal insan ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.

“Kesimpulannya, pembuat dasar perlu duduk semeja dan lebih proaktif merungkai permasalahan yang ada serta mencipta solusi baharu yang lebih dinamik dan sesuai dengan keperluan semasa.

“Jika tidak, kita seolah-olah menjadikan generasi muda sebagai mangsa jerangkap samar yang tidak berkesudahan sampai bila-bila,” kata mereka menerusi artikel disiarkan Berita Harian, hari ini.

Dalam pada itu, mereka menegaskan, luahan graduan bidang pendidikan universiti awam – yang terpaksa menjadi pengawal keselamatan, buruh kasar dan bekerja sendiri – disebabkan tidak mempunyai peluang seperti graduan lain untuk menceburi sektor kerajaan dan swasta, perlu diambil berat dan tindakan segera pihak berwajib.

Menurut data dikemukakan, dalam tempoh 10 tahun terakhir, seramai 4,390 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di UA tidak mendapat peluang temu duga bagi tujuan penempatan sebagai guru di sekolah Kementerian Pelajaran (KPM).

Lebih menyedihkan, mereka juga tidak dilayan majikan untuk mendapat pekerjaan dalam bidang selain pendidikan.

“Sampai bila masalah ini akan berterusan?

“Jika tidak diatasi, UA akan berterusan menawarkan bidang pengajian yang dianggap memberikan harapan palsu kepada generasi muda dari tahun ke tahun,” kata mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button