Berita UtamaDunia

Qatar janji salur A$500 juta untuk bina semula Gaza

Terus dukung saudara di Palestin dapatkan negara yang merdeka

DUBAI, 15 Syawal 1442H, Khamis – Qatar berjanji akan menyalurkan AS$500 juta untuk menyokong pembinaan semula di Semenanjung Gaza setelah serangan Israel berskala besar selama 11 hari di wilayah itu.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Qatar dan Menteri Luar Negeri, Sheikh Mohammed bin Abdul Rahman Al Thani menerusi akaun Twitter beliau semalam.

Janji berkenaan atas arahan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani untuk membantu membangun semula Gaza berikutan gencatan senjata yang mengakhiri perang antara negara pengganas Israel dan Palestin.

“Kami akan terus mendukung saudara-saudara kita di Palestin untuk mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan dengan menubuhkan negara mereka yang merdeka,” kata Menteri Luar Negeri dalam catatan di Twitter.

Qatar sering berperanan sebagai orang tengah antara Israel dan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) yang memerintah Gaza sejak 2007.

Negara Teluk telah menyumbang ratusan juta dolar dalam bantuan kemanusiaan dan pembangunan untuk menyokong gencatan senjata sebelum ini.

Dana tersebut bertujuan bagi membantu warga Palestin Gaza ‘menghadapi cabaran hidup yang ditimbulkan oleh serangan Israel baru-baru ini serta untuk menyumbang kepada pembinaan semula kemudahan perkhidmatan di Gaza’, lapor agensi berita rasmi QNA. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button