Berita Utama

Bertindak! Jawatankuasa Khas Bebas Darurat perlu reda kegelisahan rakyat

Kepercayaan terhadap kerajaan terjejas hingga institusi Agong jadi sasaran fitnah

BANGI, 16 Syawal 1442H, Jumaat – Jawatankuasa Khas Bebas Darurat perlu proaktif supaya kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dalam tempoh darurat tidak terjejas, kata Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyarankan perkara itu bagi membolehkan kepimpinan negara menumpukan usaha menangani penularan wabak COVID-19, sekali gus memulihkan ekonomi.

“Sebagai sebuah jawatankuasa bebas yang masih belum tercalar kewibawaannya, kewujudan jawatankuasa khas bebas diharapkan boleh meneliti pelaksanaan peruntukan ordinan serta keperluan-keperluan lain untuk mengatasi penularan wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat perlu proaktif bagi membantu kerajaan menilai keperluan semasa, selain menjawab isu-isu kewajaran sama ada tempoh darurat dikekalkan atau sebaliknya.

Katanya, jawatankuasa yang terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang serta wakil-wakil parti politik itu juga perlu berperanan aktif dan bukan setakat menerima laporan daripada pihak kerajaan.

“Setidak-tidaknya cadangan, ulasan dan teguran jawatankuasa khas bebas dapat mengekalkan tadbir urus yang baik dalam pengurusan kerajaan sepanjang tempoh darurat,” katanya.

Mengulas lanjut, Prof Wan Ahmad Fauzi berkata, rakyat gelisah kerana kes jangkitan harian COVID-19 semakin meningkat meskipun Ordinan Darurat telah berkuat kuasa.

Katanya, rakyat juga semakin sensitif dan membandingkan langkah-langkah pengawalan serta pemvaksinan yang berlaku di seluruh dunia seperti dipamerkan di kaca televisyen dan media sosial

“Rakyat yang disogok dengan pelbagai maklumat dalam media sosial pastinya tidak mudah untuk membezakan yang mana kebenaran, dan sebaliknya.

“Kesan daripada kekurangan maklumat tentang usaha dan jawapan kepada pelbagai isu berbangkit, turut mengheret institusi Yang di-Pertuan Agong yang dijadikan sasaran fitnah, cercaan dan tohmahan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Justeru, katanya, dalam keadaan yang semakin mencambahkan polemik dalam masyarakat, rakyat sudah pasti ingin mendengar perkembangan di dalam negara daripada mulut Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.

Jelasnya, rakyat tidak wajar dibiarkan bersangka buruk terhadap polisi dan tindak-tanduk kerajaan berikutan dakwaan yang dilontarkan oleh pelbagai pihak.

“Rakyat (juga) tidak patut mempunyai persepsi bahawa jawatankuasa khas bebas akan hanya menghadap SPB Agong pada penghujung bulan Julai 2021, setelah ahlinya dilantik pada 9 Februari 2021, untuk menyampaikan nasihat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button