Berita Utama

Bagi UMNO pula tanding Tanjung Piai

Keputusan bertanding diserah pada pucuk pimpinan parti

BANGI, 11 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Sudah sampai masanya sistem penggiliran dilakukan dengan memberikan ruang kepada UMNO bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan berkata, pihaknya berharap calon UMNO diberikan peluang bertanding di kerusi berkenaan – yang ketika ini disandang Datuk Seri Wee Jeck Seng.

“UMNO Bahagian (Tanjung Piai) sentiasa komited kerana kita membawa suara rakyat dan kali ini kita berharap kerusi Parlimen Tanjung Piai digilirkan kepada UMNO.

“Apa juga yang diputuskan oleh Presiden parti, sebagai orang parti kita perlu ada beberapa langkah lain yang pertama pengundi tidak merajuk dan kedua kena muhasabah sebagai parti dalam komponen BN,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Pun begitu, Jefridin berkata, keputusan sama ada UMNO atau MCA bertanding mewakili BN di kerusi Parlimen Tanjung Piai diserah kepada pucuk pimpinan parti.

Beliau juga memaklumkan bahawa jentera Pilihan Raya UMNO Bahagian Tanjung Piai telah berada pada tahap 100 peratus bagi menghadapi PRU15.

Menurutnya, pengalaman dalam dua pilihan raya, iaitu PRK Tanjung Piai dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu memberi kelebihan kepada UMNO Bahagian Tanjung Piai bagi menghadapi PRU15.

“Kejayaan di PRK Tanjung Piai serta PRN Johor apabila berjaya merampas kerusi DUN Pekan Nanas daripada PH dan mengekalkan kerusi DUN Kukup menjadi pemangkin bagi jentera kami,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button