Berita Utama

75 lokasi terjejas banjir di Negeri Sembilan akan dibaik pulih

RM27.29 juta untuk pembaikan Jalan Persekutuan, RM45.68 juta Jalan Negeri

BANGI, 8 Jamadilakhir 1443H, Selasa – Sebanyak 75 lokasi jalan, jambatan dan cerun terjejas di Negeri Sembilan akibat banjir dan Monsun Timur Laut, akan dibaik pulih yang berjumlah RM72.9 juta.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM27.29 juta adalah bagi kerja-kerja pembaikan di Jalan Persekutuan, sementara RM45.68 juta bagi kerja-kerja pembaikan di Jalan Negeri.

Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan di 67 daripada 75 lokasi yang terjejas banjir sudah pun selesai dilaksanakan.

“Selain itu, kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan segera bagi kerja-kerja kritikal melibatkan pembaikan pavemen, pembaikan jambatan, pembaikan elektrik dan cerun sebanyak RM22.14 juta.

“Kerja-kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Kementerian Kerja Raya menerusi Jabatan Kerja Raya juga sedang melaksanakan kerja-kerja pemasangan Jambatan Bailey sepanjang 18 meter merentasi Sg Bemban di daerah Jelebu.

Kementerian itu berkata, kerja-kerja pembinaan abutment serta pemasangan sheet pile telah dimulakan di tapak, dan kerja pemasangan jambatan bailey dijangka siap pada 24 Januari 2022.

“Manakala kerja-kerja pembersihan runtuhan tanah di Jalan Jeram Tol telah dilaksanakan oleh syarikat konsesi Selia Senggara selatan Sdn Bhd.

“Kos sebanyak RM1 juta telah disalurkan bagi kerja-kerja pembaikan jalan dan pembentung. Kerja-kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mei 2022,” kata kementerian.

Kementerian memberitahu, kerja-kerja pembersihatan di FT 086 Seksyen 20.5 Jalan Seremban-Kuala Klawang juga telah dilaksanakan.

Katanya, kerja-kerja pemasangan TMP telah siap dan jalan telah dibuka sepenuhnya, sementara bagi kerja pembaikan cerun akan bermula pada akhir Januari serta dijangka siap pada bulan Jun 2022.

“Bagi Jalan VHF (very high frequency) (Jalan ke Stesen Pemancar), kerja pembersihan awal telah dilaksanakan dengan dibantu oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

“Peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja pembaikan jalan dan sebanyak RM4 juta bagi kerja-kerja pembaikan cerun di tiga lokasi telah disalurkan dan akan dilaksanakan setelah kerja-kerja pembersihan siap,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button