Berita Utama

Kerajaan diminta pandang serius kehadiran pesawat Israel

Risau dengan tahap keselamatan negara yang diceroboh pihak asing

BANGI, 16 Syawal 1442H, Jumaat – Kerajaan diminta memandang serius kejadian pencerobohan sempadan negara yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

Perkara itu dibimbangi boleh mengancam dan mewujudkan rasa tidak selamat kepada negara termasuk jutaan rakyat di negara ini.

Rasa tidak senang dengan perkara tersebut diluahkan oleh Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin susulan daripada laporan pesawat milik negara haram Israel berlegar di ruang udara negara.

“Terus terang saya katakan bahawa saya sangat ‘concern’ dan risau dengan tahap keselamatan negara. Negara kita diceroboh melalui jalan darat, laut dan udara.

“Kerajaan dan agensi terbabit mesti memandang serius dengan kejadian demi kejadian pencerobohan kerana ia terbukti mengancam keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Terdahulu, media tempatan melaporkan kehadiran pesawat pengintip prototaip Israel yang sedang menjalankan penerbangan ujian merentas ruang udara Putrajaya sebelum mendarat di Singapura.

Pesawat Boeing 732-400 dengan bernombor pendaftaran 4X-AOO milik syarikat IAI-Elta merupakan pesawat perisikan elektronik yang direka untuk menampung sistem perisikan semboyan rondaan maritim, perisikan imej, sistem amaran awal udara (AEW) dan sistem perlindungan misil pesawat komersial.

Jurnal Defence Security Asia yang berpangkalan di Kuala Lumpur melaporkan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang melakukan siasatan berhubung laporan sebuah pesawat Israel yang dilengkapi peralatan elektronik sensitif telah terbang di ruang udara Malaysia.

Pesawat Boeing itu kemudian dikesan telah mendarat di sebuah pangkalan tentera di Singapura.

Spekulasi pengintipan itu timbuL kerana pesawat Boeing tersebut terbang di ruang udara Singapura selepas gencatan senjata dipersetujui antara Israel dengan Hamas pada Jumaat minggu lalu bagi menamatkan serangan tentera rejim Zionis di Gaza selama 11 hari.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button