Berita Utama

Kerajaan putus ‘total lockdown’ sektor sosial, ekonomi 14 hari bermula 1 Jun

Semua sektor tak dibenar untuk beroperasi kecuali disenaraikan MKN

KUALA LUMPUR, 16 Syawal 1442H, Jumaat – Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh atau total lockdown sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata sepanjang tempoh berkenaan, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan MKN.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

“Setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat. Kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan pantas juga turut mempengaruhi keputusan hari ini,” demikian menurut kenyataan itu.

Sidang Khas MKN berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi.

Kenyataan itu juga menyebut dengan peningkatan kes harian yang menunjukkan trend kenaikan mendadak sejak mutakhir ini, kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19 juga semakin terhad.

Kerajaan juga akan melaksanakan lockdown fasa kedua yang akan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal, sekiranya fasa pertama berjaya mengurangkan kes harian COVID-19.

Fasa kedua ini akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button