Berita Utama

Kes COVID-19 cecah 8,290 hari ini, rakyat desak ‘total lockdown’!

‘Kasihan kakitangan hospital. Nak rehat pun tak sempat’: Netizen

BANGI, 16 Syawal 1442H, Jumaat – Rata-rata rakyat Malaysia mempersoalkan kerajaan yang masih tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh atau ‘total lockdown’, susulan jangkitan COVID-19 hari ini mencecah 8,290 kes iaitu tertinggi setakat ini.

Menerusi komen di laman sosial Facebook, pengguna dikenali Jas Ni berkata, kerajaan hanya menghabiskan wang dengan sia-sia selagi PKP menyeluruh tidak dilaksanakan.

Ini termasuk dengan menyediakan tempat kuarantin, membeli fasiliti serta memberi makanan kepada pesakit-pesakit.

“Jika buat total lockdown, rakyat tak keluar dan kes takkan meningkat dan dapat dikawal dan cuma mengubati pesakit yang ada,” katanya.

Pengguna Rohani Sulaiman menyarankan, supaya PKP menyeluruh dilaksanakan selama hanya dua minggu.

“Rugi sekarang tak apa, jangan rugi kemudian. Memang terkawal. Kalau hospital dah penuh, terkawal ke?,” soalnya.

Turut sependapat Nurul Shafiqah yang mengesyorkan supaya PKP menyeluruh dilaksanakan selama sebulan.

“Kesian kakitangan hospital. Nak rehat pun tak sempat,” katanya kesal.

Farid Nordin dalam tulisannya berkata: “Buat je la lockdown, kalau da setiap hari kes mencanak naik macam ni. InsyaAllah mana tahu lockdown kes turun ke,”

Pengguna Gerakan Selendang Merah berkata, kerajaan lebih mementingkan ekonomi daripada nyawa kerana sukar melaksanakan PKP menyeluruh.

“Inilah yang jadi. Semakin hari kes makin meningkat. Semakin ramai yang akan mati nanti,” katanya.

Kes jangkitan harian COVID-19 sekali lagi mencatat peningkatan tertinggi dengan 8,290 kes dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kekal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,052 kes diikuti Kelantan (851); Kuala Lumpur (830); Johor (762) dan Sarawak (698).

“Semua negeri mencatatkan pertambahan kes hari ini dan kes terendah dilaporkan di Labuan iaitu enam kes,” katanya.

Beliau berkata, pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini meningkat kepada 549,514 kes.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button