Berita Utama

Perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya masih beroperasi 1 laluan

Kerja pembaikan, pemasangan antara Stesen KLCC sehingga Kampong Baru masih belum selesai

KUALA LUMPUR, 16 Syawal 1442H, Jumaat – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang beroperasi hari ini masih menggunakan satu landasan memandangkan kerja-kerja pembaikan dan pemasangan antara Stesen KLCC sehingga Kampong Baru masih belum selesai.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata hasil pemeriksaan fizikal oleh pegawai Bahagian Penguatkuasaan Rel dan Bahagian Perancangan Rel Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 1.19 pagi sehingga 4.30 pagi tadi mendapati laluan kecemasan di sebelah kanan di lim rel 1447 tidak stabil akibat kesan pelanggaran iaitu patah di bahagian tapak dan perlu tindakan pembaikan segera.

Di samping itu, beliau berkata pasukan pemeriksaan APAD juga mengarahkan penggantian kabel pengesan haba yang rosak bermula di segmen terowong 126 sehingga segmen terowong 96 sepanjang 28.5 meter bagi memastikan sistem pengesanan kebakaran di dalam terowong berfungsi dengan baik selain tiga Rail Clip tidak dipasang pada bahagian rel, bagaimanapun Rapid Rail telah memasangnya serta-merta.

“Pihak Rapid Rail memaklumkan bahawa kerja-kerja penggantian akan dilakukan dalam tempoh terdekat. Ini adalah komponen keselamatan kritikal operasi utama bagi perkhidmatan LRT.

“Pihak APAD akan memeriksa semula sebaik sahaja pihak Rapid Rail menyempurnakan kerja pembaikan dan pemasangan yang disyaratkan. APAD akan memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum kelulusan pemulihan operasi diberi kepada Rapid Rail,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.

Wee memaklumkan pemerhatian terhadap pengujian rollover train yang bermula pada jam 3.08 pagi tadi mendapati simulasi pergerakan tren berada dalam kedaan baik.

Dalam kejadian jam 8.45 malam Isnin lepas, sebanyak 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kekerapan operasi rel LRT Laluan Kelana Jaya mengikut jadual terkini di mana setiap 10 minit bagi waktu puncak dan 30 minit waktu biasa.

Seorang pengguna, Besek Sarina Bachok, 42 yang menggunakan perkhidmatan itu untuk ke pejabat dari Stesen Gombak ke Stesen Masjid Jamek berkata kekerapan waktu menunggu ketibaan tren pada hari ini lebih cepat berbanding semalam.

“Tadi saya naik tren jam 7.40 pagi tapi tren yang sebelum itu pun sudah ada dalam 10 minit berbanding semalam lebih 30 minit barulah tiba dan waktu berhenti di setiap stesen pun tidak lama.

“Keadaan dalam tren juga tidak bersesak, mungkin keadaan akan berubah apabila waktu petang kerana lebih ramai yang akan menggunakannya,” katanya kepada Bernama. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button