Berita Utama

Tajuddin Rahman disiasat SPRM?

Sumber kata siasatan itu berkaitan dengan dakwaan salah guna kuasa

PUTRAJAYA, 16 Syawal 1442H, Jumaat – Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari Khamis (27 Mei) untuk membantu siasatan.

Difahamkan, beliau berada di ibu pejabat SPRM untuk disoal siasat pada lewat pagi semalam.

Sumber-sumber yang mengesahkan bahawa Tajuddin dipanggil bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai perkara itu.

Namun, dikatakan bahawa siasatan itu berkaitan dengan dakwaan penyalahgunaan kuasa, lapor The Star.

SPRM belum mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut.

Kemudian pada hari yang sama, Ahli Parlimen Pasir Salak itu disoal siasat oleh polis kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 semasa sidang media, baru-baru ini.

Tajuddin dilihat tiba di ibu pejabat polis Dang Wangi dengan sebuah kereta sekitar jam 4.45 petang, di mana beliau menghabiskan satu jam untuk memberi keterangan.

Siasatan oleh SPRM dan polis dilaksanakan sehari setelah Tajuddin ditamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi Prasarana pada 26 Mei.

Sebelum ini, beliau dikritik secara meluas di media sosial atas penampilannya pada sidang media baru-baru ini berikutan insiden kemalangan tren LRT Kelana Jaya.

Dalam sepucuk surat, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu Tajuddin mengenai penamatan khidmatnya itu, yang berlaku serta-merta dan mengucapkan terima kasih atas sumbangannya sejak dilantik sebagai pengerusi bukan eksekutif.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button