Berita Utama

Penulis artikel media Cina dakwa Mohd Asri, NGO ada ‘agenda tersembunyi’

Pengasas Hot Burger didakwa letak kesalahan pada pendatang asing, 'tauke'

BANGI, 29 Zulhijjah 1441H, Rabu – Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid didakwa mempunyai ‘agenda tersembunyi’, di sebalik dakwaan wujud beberapa premis judi serta gerai peniaga warga Indonesia yang menjual rokok seludup di sekitar Jalan Besar Bandar Baru Sungai Buloh.

Memetik artikel bertajuk Hew Wai Weng: Krisis Ekonomi Melayu Bandar disiarkan Oriental Daily kelmarin, penulis turut mendakwa gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempunyai agenda sama apabila membantu Mohd Asri menularkan videonya.

“Usaha peniaga burger dan PPIM mendedahkan salah laku anggota PDRM dan MBSA patut dipuji, tapi kita tidak boleh mengabaikan agenda di sebaliknya.

“PPIM selalu melancarkan serangannya melalui kerja-kerja ‘menolong golongan lemah’ baik secara langsung atau tidak langsung menuding jari pada orang Cina bukan Islam membuli atau menindas pengguna dan peniaga muslim,” dakwanya.

Penulis mendakwa, video peniaga burger tersebut dengan jelas meletakkan kesalahan pada ‘pendatang asing’ (orang Aceh) dan ‘tauke’ (orang Cina) serta menegaskan judi haram di sisi Islam.

“Oleh itu, selain menyalahkan pilih kasih anggota polis dalam melaksanakan tugas, di sudut lain mereka ‘mengangkat Islam’ dengan mendesak pihak berwajib menutup premis yang menjalankan aktiviti haram atau yang bertentangan dengan ajaran Islam.

“…pada masa yang sama turut menyebarkan rasa ‘benci pada pendatang’ (yang boleh datang dari kalangan orang Cina tempatan, orang Rohingnya, orang Aceh dan lain-lain),” dakwanya.

Dakwanya lagi, kejadian itu juga menggambarkan rasa bimbang dan gelisah sebahagian orang Melayu dari kelas pertengahan dan peniaga kecil lain, yang perlu berhadapan dengan penguasaan perniagaan SME oleh orang Cina tempatan.

“…perlu juga berhadapan dengan ‘pendatang asing’ seperti orang Aceh dan orang Rohingnya yang bersaing dalam perniagaan menjaja.

“Dalam erti lain, orang Melayu yang merasa tergugat dari segi ekonomi bukan lagi dari golongan kelas bawah yang tidak mendapat bantuan dari kerajaan, mahupun dari golongan kelas atas yang tidak menerima insentif dari kerajaan.

“…tetapi adalah dari golongan kelas pertengahan yang terdiri dari profesional dan pemilik perniagaan SME yang perlu berhadapan dengan saingan dari perusahaan multinasional, peniaga bukan Melayu dan pendatang asing yang menjaja dalam sebuah pasaran bebas,” dakwanya.

Ditambah dengan kemungkinan pembabitan belia Melayu yang sama ada melindungi ‘premis yang menyalahi undang-undang’ atau menyertai aktiviti yang ‘bertentangan dengan ajaran Islam’ menyebabkan ramai orang Melayu di bandar berasa panik, dakwa penulis.

Dakwanya juga, ini menjadikan mereka lebih dekat dan bergantung kepada agama mereka.

“Akibatnya terjadilah saling kait antara krisis ekonomi dan moral yang menjadikan orang Melayu bandar lebih konservatif dan ini dimanfaatkan oleh PPIM dan ISMA selain dimanipulasi oleh parti-parti politik Melayu untuk manfaat politik mereka.

“Inilah sebab mengapa pendedahan Mohd Asri di media sosial tular dengan cepat dalam kalangan masyarakat Melayu termasuk dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button