Berita Utama

Vaksin, kawalan pergerakan kendiri pertahanan utama lawan COVID-19

2 tindakan itu harus dilaksanakan bersama-sama oleh semua pihak

KUALA LUMPUR, 16 Syawal 1442H, Jumaat – Suntikan vaksin dan kawalan pergerakan kendiri, adalah pertahanan utama dan penting bagi setiap rakyat ketika ini dalam usaha untuk melumpuhkan penularan COVID-19 yang dilihat kembali memuncak sejak awal April lepas.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata dua tindakan itu harus dilaksanakan dan digembleng bersama-sama oleh semua pihak, untuk memastikan negara mampu melandaikan semula lekuk penularan wabak maut itu.

Beliau berkata pelaksanaan vaksinasi ketika ini perlu ditambah baik agar lebih sistematik merangkumi proses pendaftaran dan penerimaan suntikan, selain memaksimumkan keupayaan fasiliti kesihatan awam serta swasta untuk mempercepatkan proses pelalian kepada kira-kira 10 juta rakyat yang berdaftar bagi Program Imunasi COVID-19 Kebangsaan.

“Apabila bekalan vaksin kembali stabil, kerajaan perlu tingkatkan pembabitan sektor kesihatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan untuk bersama-sama melaksanakan suntikan kepada rakyat di semua jenis fasiliti kesihatan.

“Saya fikir semua pihak bersedia untuk bantu KKM, malah kita mungkin boleh pertimbangkan untuk laksanakan proses suntikan sepanjang hari atau 24 jam, agar lebih ramai rakyat disuntik,” katanya dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Dr Zainal Ariffin berkata pendekatan lain ialah pemvaksinan di kawasan panas seperti di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selain ruang penambahbaikan sentiasa wujud dengan kerajaan perlu meneliti semula perancangan sebelum ini yang mungkin tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa.

“Jika kita lihat sambutan rakyat mendaftar vaksin di MySejahtera serta pendaftaran sukarela vaksin AstraZeneca, jelas menunjukkan ramai mahukan vaksin dan ini isyarat kepada kerajaan untuk percepatkan proses vaksinasi,” katanya.

Selain itu, Dr Zainal Ariffin turut mencadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti semula prosedur operasi standard (SOP), agar lebih sesuai mengikut keperluan dan mengambil kira ciri-ciri virus yang kini sudah bermutasi dan wujud varian of concerns (VOC) yang lebih mudah merebak.

Beliau berkata selain penguatkuasaan SOP had masa operasi sektor ekonomi, kawalan jumlah pergerakan orang keluar rumah perlu dilaksanakan seperti membenarkan hanya seorang atau dua ahli keluarga keluar untuk aktiviti harian dan urusan penting.

“Terdapat kajian yang mendapati penyebaran COVID-19 juga berlaku secara bawaan udara (airborne) selain rembesan cecair (droplets), justeru itu penting untuk rakyat sedar dan patuh kepada amalan ‘elak 3 S’ iaitu jangan sembang dekat, elak kawasan sesak dan ruang sempit.

“Sebelum nak keluar rumah, semak dahulu keadaan jangkitan wabak di kawasan sekitar menerusi hotspots COVID-19 di MySejahtera. Jika tiada keperluan penting duduk di rumah dan jika terpaksa keluar pakai pelitup muka seperti yang disarankan,” katanya.

Dalam tempoh Mei 2021 sahaja, hampir setiap hari negara mencatatkan kes positif COVID-19 baharu tertinggi dengan kumulatif 541,224 kes setakat semalam (27 Mei), manakala jumlah korban seramai 2,491 orang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button