Berita Utama

Bank untung berbilion digesa ‘berkorban’ beri moratorium automatik 6 bulan

Tanggungjawab bantu negara perlu dipikul semua pihak: BERJASA

BANGI, 17 Syawal 1442H, Sabtu – Rakyat pastinya ternanti-nantikan apakah bentuk pakej bantuan bersasar kerajaan susulan pelaksanaan ‘total lockdown’ fasa pertama selama dua minggu mulai 1 Jun ini.

Pakej bantuan ini sangat penting sebagai sokongan kepada rakyat terkesan hasil daripada ‘total lockdown’ yang dilaksanakan demi membendung wabak COVID-19.

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Hazwan Mohamad berkata, kerajaan tidak sepatutnya rasa takut untuk menggunakan rizab wang tetapi perlu memastikan ia sampai ke golongan sasar dan bebas ketirisan.

“Pihak institusi kewangan bank-bank di Malaysia hampir kesemuanya mengumumkan penyata kewangan tahunan dengan catatan keuntungan berbillion ringgit.

“Sudah pastilah tanggungjawab membantu negara ini perlu dipikul semua. Justeru, saya menyeru agar pihak institusi kewangan turut ‘berkorban’ untuk melaksanakan moratorium automatik untuk tempoh enam bulan tanpa bunga dibawa ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.

Pejabat Perdana Menteri berkata, menerusi perintah berkurung penuh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

Susulan keputusan berkenaan, Hazwan tidak menolak kemungkinan tempoh mendatang ini akan menjadi amat mencabar.

“Jika PKP 1.0 dahulu menyaksikan ramai yang hilang punca pendapatan, yang kais pagi makan pagi pun tidak keruan. Kali ini episod duka datang kembali. Seharusnya kerajaan dan semua pihak yang terlibat harus sama-sama berganding bahu membantu negara yang kita semua cintai.

“Buat semua rakyat Malaysia, marilah kita bersama, tabahkan semangat, bulatkan tekad untuk sekian kalinya, kita putuskan rantaian wabak yang kembali mengganas ini sekali lagi. Moga Allah merahmati kita semua,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button