Berita Utama

‘Bantulah petugas barisan hadapan, kami dah penat’: Dr Noor Hisham

Bawa jangkitan ke kawasan lain tak bantu usaha bendung penularan COVID-19

BANGI, 17 Syawal 1442H, Sabtu – Ke manakah arah tujuan anda pada hujung minggu ini?

Membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke kawasan lain tidak akan membantu usaha untuk membendung penularan virus COVID-19.

Demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ekoran laporan kesesakan trafik di beberapa lebuh raya utama, hari ini menjelang dua hari sebelum ‘total lockdown’ dikuatkuasakan.

“Membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha kita untuk membendung penularan jangkitan virus COVID-19.

“Duduklah di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Dr Noor Hisham meminta, orang ramai supaya membantu menyelamatkan sistem kesihatan negara yang bakal lumpuh jika peningkatan kes COVID-19 tidak terkawal.

“Sekiranya kami rebah, anda dan ahli keluarga anda mungkin tidak akan menerima rawatan kesihatan yang sebaiknya.

“Jika lebih malang, tiada lagi katil untuk anda di hospital. Apatah lagi jika anda tenat dan kritikal tetapi katil ICU sudah penuh semuanya.

“Petugas barisan hadapan sudah penat. Tapi kami masih gagahi demi menyelamatkan nyawa anda,” katanya.

Hantaran Dr Noor Hisham itu mendapat pelbagai respon daripada pengguna Facebook yang mengecam sikap segelintir individu yang masih berdegil untuk tidak melanggar arahan ditetapkan kerajaan.

“Semua nak lari balik. This shows how irresponsible some people are. Look at yourself before blaming others who has been following the rules,” kata Seng Kean Shaun.

“Sekarang bukti rakyat yang gagal!,” kata Nofi Sham.

“Sebab golongan macam inilah orang yang betul berkeperluan susah nak balik. Please don’t be selfish. Tiada urusan penting tolonglah lockdown di rumah masing-masing,” kata Eza Kaori.

Terdahulu, Lembaga Lebuhraya Malaysia melaporkan situasi trafik sesak di sekitar Plaza Tol Besi arah selatan dan sebelum masuk Plaza Tol Gombak arah timur.

Setakat hari ini, Malaysia merekodkan 9,020 kes harian baharu – jumlah tertinggi – dengan Selangor (2,836 kes) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (789 kes).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button