Berita UtamaDunia

Erdogan penuhi hasrat lama buka masjid di dataran utama Istanbul

Masjid Taksim dirasmikan selepas perjuangan hampir satu setengah abad

ISTANBUL, 17 Syawal 1442H, Sabtu – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan merasmikan masjid baru di Dataran Taksim Istanbul pada hari Jumaat, sekali gus memenuhi hasrat lama untuk membina rumah ibadat muslim di ruang awam utama bandar yang menjadi simbol Republik Turki moden.

Pembukaan memenuhi cita-cita lama pelbagai kerajaan sejak tahun 1950-an untuk membangunkan tempat ibadat muslim di dataran berkenaan, yang sering dianggap sebagai simbol sekularisme Mustafa Kemal Ataturk.

Bahkan, majlis perasmian kebetulan sama dengan ulang tahun tunjuk perasaan antikerajaan secara besar-besaran, yang bermula di sebelahan Taman Gezi pada 28 Mei 2013, susulan rancangan pembinaan kerajaan.

“Masjid Taksim dibawa ke Istanbul setelah perjuangan hampir satu setengah abad,” kata Erdogan dalam ucapannya selepas menunaikan solat Jumaat.

Beliau turut menegaskan bahawa rancangan untuk membina masjid tersebut bermula pada perang Russia – Turki antara tahun 1877-1878.

Bagaimanapun, pengkritik melihat pembinaan masjid itu sebagai sebahagian daripada rancangan Erdogan untuk merosakkan warisan Mustafa Kemal Ataturk yang menubuhkan republik berorientasikan sekular selepas kejatuhan Empayar Uthmaniyyah.

Majis baru itu adalah masjid mercu tanda ketiga yang dirasmikan Erdogan di Istanbul.

Sebelum ini, Masjid Camlica didirikan di bukit tinggi dibuka pada bulan Mac 2019.

Tahun lalu, Erdogan menukar status bagunan ikonik Hagia Sophia yang sebelum ini berfungsi sebagai muzium kepada rumah ibadat orang Islam. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button