Berita UtamaIstimewa

Lockdown: Kerajaan diminta fokus kawal kes, tingkat program vaksinasi

'Masih belum terlambat lakukan sesuatu ubah keadaan jadi lebih baik': I-Medik

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 17 Syawal 1442H, Sabtu – Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) mengalu-alukan keputusan kerajaan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun ini.

Bagaimanapun kerajaan diingatkan peluang ‘total lockdown’ ini – yang akan dilakukan berfasa – seharusnya diambil untuk fokus kepada kawalan kes dan program vaksinasi COVID-19.

Ahli Jawatankuasa (AJK) I-Medik, Dr Ihsanuddin Abbas berkata, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) perlu dibantu untuk mengenal pasti kes positif dan kontak rapat di dalam komuniti bagi pengasingan serta rawatan disamping mempertingkatkan jumlah vaksinasi mengikut fasa yang telah diatur.

Ini kerana, sudah ramai rakyat yang mahu mengambil vaksin dan ingin bekerjasama dengan pihak berkuasa agar program vaksinasi ini berjaya.

“Tumpuan utama kerajaan adalah untuk kembali meratakan lengkuk kes positif secepat mungkin agar sistem kesihatan dapat menguruskan kes baru dengan baik dan seterusnya mengawal kadar kematian disebabkan oleh COVID-19 ini.

“Masih belum terlambat untuk melakukan sesuatu yang mengubah keadaan menjadi lebih baik jika kerjasama kerajaan dan rakyat berlaku dengan baik.

“Ini memerlukan kempen pendidikan dan kesedaran akan kepentingan mengambil vaksin dan menjaga pergerakan kendiri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Meskipun begitu, Dr Ihsanuddin tidak menafikan bahawa keputusan kerajaan semalam boleh dianggap agak terlewat memandangkan sudah ramai ahli akademik dan pemimpin masyarakat yang mendesak untuk mengadakan PKP penuh lebih awal tatkala kes masih boleh dikawal.

Menurut beliau, keadaan kini semakin terdesak kerana sistem kesihatan sudah tidak mampu menampung peningkatan kes baru di dalam komuniti.

“Katil-katil hospital sudah penuh dan lebih banyak hospital terpaksa ditukarkan sepenuhnya menjadi hospital COVID-19.

“Serentak dengan itu, kakitangan KKM di klinik-klinik kesihatan dan Pejabat Kesihatan Daerah sibuk menguruskan kes-kes baru dalam komuniti untuk saringan dan pemantauan kes positif di rumah.

“Ini yang sepatutnya kita cuba elakkan dari awal lagi dengan kaedah pengawalan dan pencegahan yang berkesan. Ini boleh dilakukan dengan mengkaji punca-punca utama jangkitan di dalam komuniti dan membuat kawalan dan penguatkuasaan yang lebih tegas dan berkesan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button