Berita Utama

Sekatan penuh: KPDNHEP jamin bekalan barang keperluan mencukupi

Ingatkan pengguna untuk tidak lakukan pembelian panik, berlebihan

BANGI, 17 Syawal 1442H, Sabtu – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan di seluruh negara masih stabil dan mencukupi ketika fasa sekatan penuh mulai 1 Jun ini.

Sehubungan itu, KPDNHEP menggesa semua pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik dan berlebihan bagi mengelakkan gangguan bekalan di premis-premis jualan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan oleh penguat kuasa kementerian setiap hari, bagi memastikan keberadaan bekalan barangan keperluan asas di semua negeri.

“Adalah menjadi harapan KPDNHEP bahawa semua pihak terutamanya peniaga dan pengguna bersama-sama bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan melalui kawalan kendiri dan mengikuti SOP serta tidak melakukan pembelian panik supaya bekalan barang keperluan asas di seluruh negara terus berada pada tahap stabil dan mencukupi.

“KPDNHEP dengan ini turut memaklumkan bahawa penguatkuasaan OPS HAD 2J ditangguhkan serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Nanta Linggi berkata, prosedur operasi standard (SOP) 3.0 yang lain masih terus dikuatkuasakan.

“Kementerian berharap pengguna dan pengunjung premis perniagaan akan terus merancang perbelanjaan dan perjalanan bagi mengurangkan kesesakan di premis perniagaan yang boleh menyebabkan penularan COVID-19 meningkat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button