Berita Utama

Hina Agong: PDRM perlu lindungi maruah institusi diraja, segera dakwa Iswardy

‘Kalau standard gurau dengan kucing, jangan kejut harimau bertapa’: Perkid

BANGI, 18 Syawal 1442H, Ahad – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk melindungi maruah institusi diraja dan segera mendakwa individu yang sengaja mengeluarkan kenyataan menghasut dan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Ini susulan video yang dimuat naik Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang didakwa menghina Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Iswardy memuat naik video secara siaran langsung berhubung Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun Ini di YouTube rasmi miliknya.         

Dalam video terbabit, Iswardy turut membandingkan Yang di-Pertuan Agong dengan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di negeri Johor.

Menyelar tindakan Iswardy, Presiden Persatuan Kebajikan Darul Islah (Perkid), Ustaz Masridzi Sat berkata, sikap individu seumpama itu tidak boleh dibiarkan kerana bimbang ia semakin melampau.

“Akhlak yang buruk dan biadab hanya akan menambahkan kebencian rakyat kepada pelaku dan parti yang disokongnya.

“Kalau standard bergurau dengan kucing, jangan kejutkan harimau yang sedang bertapa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Bukit Aman mengesahkan telah menahan Iswardy di kediamannya di Kajang kira-kira 11 malam tadi bagi membantu siasatan.

Difahamkan, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button