Berita Utama

MACSA mahu dokumentasi dakwaan sekatan isu Palestin di media sosial

Syarikat media dilihat cuba had kebebasan bersuara dengan hapus komen bersifat adil

BANGI, 18 Syawal 1442H, Ahad – Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) mahu mendokumentasi semua dakwaan mengenai sekatan dikenakan ke atas pengguna media sosial susulan menyuarakan pendapat berkenaan situasi rakyat Palestin.

MACSA memberitahu, pihaknya menyokong rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan kebebasan menentukan nasib sendiri yang kini tidak diperolehi di negara sendiri.

“Penderitaan rakyat Palestin telah disebar luas secara berkesan khususnya melalui media sosial.

“Namun, MACSA memandang serius berkenaan laporan dan dakwaan penapisan maklumat yang telah berlaku di media sosial yang dilaksanakan secara tidak adil dan penuh diskriminasi oleh syarikat gergasi rangkaian media sosial iaitu Facebook, Twitter dan TikTok.

“Kebanyakan dakwaan menunjukkan bahawa syarikat-syarikat ini mengehadkan kebebasan bersuara dengan menghapus dan menghentikan penyebaran komen yang bersifat adil dan atau menutup akaun beberapa individu tanpa alasan rasional melalui proses yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, MACSA mengajak orang ramai yang menjadi mangsa kepada sekatan tersebut membuat laporan di pautan http://bit.ly/palestinecensored

MACSA merupakan gabungan masyarakat sivil terbesar yang terdiri daripada pelbagai organisasi di seluruh negara yang berusaha mengetengahkan isu hak asasi manusia untuk proses Semakan Berkala Sejagat (UPR).

Kewujudan MACSA bukan sahaja mengkaji dan mengetengahkan isu-isu hak asasi manusia di Malaysia, tetapi juga mengambil kira kepentingan relativisme budaya berdasarkan konteks tempatan yang kaya dengan budaya dan pelbagai agama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button