Berita Utama

Pesakit ICU COVID-19 dijangka meningkat: Dr Noor Hisham

Walaupun jumlah katil ditambah, kadar penggunaan masih melebihi 100 peratus

BANGI, 18 Syawal 1442H, Ahad – Kementerian Kesihatan (KKM) telah menambah kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit COVID-19 secara berfasa sejak gelombang kedua berlaku di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh tiga minggu bulan Mei, sebanyak 439 katil tambahan disediakan, dengan keseluruhan yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 telah mencapai 1,114 katil.

Walaupun jumlah katil ICU telah ditambah, beliau berkata, kadar penggunaan katil masih di tahap melebihi 100 peratus.

“Kebanyakan katil ICU buat masa ini digunakan untuk pesakit COVID-19, lantas menyebabkan peluang pesakit bukan COVID-19 yang lain untuk menerima rawatan rapi lebih tipis.

“Jumlah kes COVID-19 yang dimasukkan ke ICU termasuk yang disahkan dalam siasatan dan sedang menunggu keputusan telah mencecah 1,200 kes, jumlah yang tertinggi sejak pandemik bermula tahun lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Atas sebab itu, Dr Noor Hisham berkata, keadaan itu menggusarkan terutama bagi petugas kesihatan dan pesakit bukan COVID-19.

Katanya, dengan pertambahan kes harian baharu yang mencecah lebih 9,000, jumlah pesakit yang memerlukan rawatan rapi juga dijangka akan terus meningkat.

“KKM akan terus mengenal pasti lebih banyak ruang di dalam hospital untuk ditukar fungsi sebagai katil ICU dan menyediakan peralatan perubatan dan kelengkapan lain yang diperlukan.

“Hospital Medan ICU di Hospital Kepala Batas serta cadangan pengambilmilikan sementara Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM juga adalah antara langkah meningkatkan kapasiti ICU seterusnya,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Dr Noor Hisham, sumber tenaga manusia adalah antara cabaran utama dan ramai anggota KKM telah dimobilisasi untuk menjalankan lain-lain fungsi dalam pengurusan pandemik.

“Anggota KKM daripada pelbagai kategori termasuklah pakar bedah di beberapa hospital telah pun dikerahkan untuk perawatan pesakit COVID-19.

“Marilah kita kekal duduk di rumah. Jika anda mempunyai urusan penting di luar, pastikan anda mematuhi SOP agar diri dan ahli keluarga dilindungi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button