Berita Utama

Sekatan penuh: PEMBELA syor perkasa bantuan B40, moratorium 6 bulan

Agensi Bumiputera seperti MARA, Amanah Ikhtiar diminta salur bantuan khas

BANGI, 18 Syawal 1442H, Ahad – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan, dalam usaha membantu ekonomi rakyat ketika tempoh fasa sekatan penuh mulai 1 Jun ini.

Ini kerana, tempoh sekatan penuh dijangka berlanjutan sehingga sekurang-kurangnya enam minggu iaitu sehingga bulai Julai, susulan merujuk kepada kadar kes harian terkini yang mencecah lebih 9,000.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, situasi itu akan menyebabkan negara berdepan cabaran ekonomi dan rakyat terutamanya golongan peniaga tertekan serta terpaksa ‘gulung tikar’.

“Namun, itulah jalan penyelesaian bagi menyelamatkan nyawa manusia, iaitu prioriti yang lebih utama.

“Bagaimanapun, pasti ada penyelesaian untuk meringankan ‘aftermath’ dari ‘lockdown’ ini nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Atas sebab itu, Aminuddin mencadangkan supaya program-program pemberian bantuan kepada golongan B40 diteruskan dan diperkasakan.

Pada masa sama, kerajaan juga disaran mempertimbangkan moratorium selama enam bulan oleh pihak bank dan mengetepikan sebarang keuntungan yang diambil dari peminjam atau sekurang-kurangnya mengurangkan kadar dari enam peratus kepada dua hingga tiga peratus.

“Kita juga syor penyaluran bantuan-bantuan khas oleh agensi Bumiputera seperti MARA dan Amanah Ikhtiar perlu dibuat memandangkan dijangka majoriti besar – 80 peratus – kumpulan terjejas adalah Bumiputera.

“Selain itu, wujudkan juga jawatankuasa khas yang benar-benar berfungsi melibatkan semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang, dewan-dewan perniagaaan dan NGO untuk mewujudkan persefahaman yang jitu dalam kalangan rakyat khusus untuk ‘lockdown’ kali ini dengan syarat kerajaan mesti bersedia dan terbuka memanfaatkan platform ini,” katanya.

Terdahulu, kerajaan akan membuat perincian mengenai prosedur operasi standard (SOP) penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara, petang ini.

Pengumuman yang akan dibuat oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jam 5 petang ini akan memperincikan sektor ekonomi dan perkhidmatan yang boleh dibuka ketika pelaksanaan sekatan penuh fasa pertama pada 1 Jun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button