Berita Utama

Tiada kompromi pihak hina, persenda Agong: KDN

Perbuatan tak patriotik jenayah kepada ketidaktenteraman awam

BANGI, 18 Syawal 1442H, Ahad – Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan menghina atau mempersendakan Yang di-Pertuan Agong.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, ini demi memastikan institusi diraja, kedaulatan undang-undang dan ketenteraman awam kekal terpelihara.

KDN memandang serius dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang menghina atau mempersendakan Yang di-Pertuan Agong serta institusi Diraja, katanya. 

Beliau berkata, perbuatan tidak patriotik dan tidak bertanggungjawab itu adalah satu jenayah yang boleh mengakibatkan ketidaktenteraman awam.

“Berikutan itu, pemilik akaun FB Iswardy Morni yang dipercayai mengeluarkan kenyataan yang mempersenda serta menghina Yang di-Pertuan Agong telah ditahan oleh PDRM melalui peruntukan Seksyen 8 (2) dan Seksyen 11 Akta Hasutan 1948.

“Selain siasatan di bawah Akta Hasutan 1948, Jabatan Siasatan Jenayah PDRM juga sedang menyiasat individu tersebut di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Iswardy yang juga Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak ditahan malam tadi susulan memuat naik video secara siaran langsung berhubung Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun di YouTube rasmi miliknya.

Dalam video terbabit, Iswardy bukan hanya mempersenda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bahkan turut membandingkan baginda dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di negeri itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button