Berita Utama

Umat Islam kehilangan ulama, ISMA rakam takziah

Dr Harussani ikhlas pertahan kuasa Islam, kesatuan umat

BANGI, 18 Syawal 1442H, Ahad – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi satu kenyataan, Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni turut mendoakan supaya roh Allahyarham dicucuri rahmat serta diberikan kesabaran kepada ahli keluarganya.

Beliau berkata, umat Islam kehilangan seorang ulama yang pernah menjadi benteng dan qudwah umat Islam untuk satu tempoh yang panjang.

“ISMA menjadi saksi keikhlasan Dr Harussani dalam mempertahankan kuasa Islam serta kesatuan umat.

“Allahyarham seorang mufti yang menjadi kebanggaan negara khususnya rakyat Perak.

“Mufti yang penuh kontroversi sepanjang 36 tahun menjadi Mufti Perak demi mengungkapkan kebenaran,” katanya sambil berharap umat Islam akan mendapat mufti baru yang dapat menggantikan dan menyambung perjuangan Allahyarham.

Dr Harussani Zakaria, 82, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Allahyarham disahkan positif COVID-19 pada 11 Mei lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB berikutan memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas.

Dr Harussani dilantik sebagai Mufti Perak bermula sejak tahun 1985 dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun Pusat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button