Berita Utama

Video hina Agong: Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak ditahan polis

Dakwa Seri Paduka tidak bertindak terhadap peningkatan kes COVID-19

PETALING JAYA, 18 Syawal 1442H, Ahad – Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata, suspek ditahan di kediamannya di Kajang.

“Suspek ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman kira-kira pukul 11 malam tadi.

“Kita akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek esok (hari ini) bagi siasatan lanjut,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Terdahulu, Dev Kumar berkata, pihaknya sedang mengesan Iswardy susulan laporan polis dibuat terhadap video dimuat naik di YouTube miliknya.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Iswardy memuat naik video secara siaran langsung berhubung Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini di YouTube rasmi miliknya.

Dalam video itu, beliau mengeluarkan kenyataan mendakwa Seri Paduka seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes COVID-19.

Selain itu, dalam video sama, Iswardy turut membandingkan Yang di-Pertuan Agong dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di negeri Johor.

Video siaran langsung itu mendapat tontonan sehingga 38,645 ribu orang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button