Berita Utama

Kategori baharu BKM untuk keluarga lebih 5 anak

Jumlah keseluruhan pemberian bantuan berkurang berbanding tahun ini

BANGI, 10 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Isi rumah berpendapatan bulan kurang daripada RM2,500 dan menanggung lima orang anak atau lebih, layak menerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM2,500 pada tahun depan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini adalah kategori baharu sebagai usaha kerajaan meringankan beban keluarga yang menyara ramai anak.

Beliau dalam pembentangan Belanjawan 2023 petang ini berkata, BKM 2023 akan memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dengan peruntukan keseluruhan RM7.8 bilion.

“Bagi isi rumah sehingga empat orang anak pula akan layak menerima BKM antara RM1,000 hingga RM2,000.

“Kepada isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000, BKM yang disediakan antara RM500 hingga RM1,250 bergantung kepada bilangan anak,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, warga emas tiada pasangan serta golongan bujang akan menerima BKM masing-masing RM600 dan RM350 bergantung kepada had pendapatan tertentu.

Beliau turut mengumumkan bantuan tambahan RM500 kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan anak diteruskan, di mana penerima layak menerima maksimum sehingga RM3,000.

“BKM 2023 ialah bantuan komprehensif yang ditambah baik dengan ketara jika dibandingkan dengan Bantuan Sara Hidup 2020 dengan peruntukan RM5 bilion,” katanya.

Meskipun BKM 2023 ditambah baik menerusi kategori baharu, jumlah keseluruhan pemberian bantuan tunai itu bagaimanapun berkurang berbanding tahun ini.

Menerusi belanjawan 2022, sebanyak RM8.2 bilion diperuntukkan untuk BKM yang memanfaatkan 9.6 juta penerima.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button