Dunia

Wujud kluster baharu, kejiranan di Guangzhou laksana perintah berkurung

Pemerintah arah penduduk berada di rumah sehingga ujian saringan selesai

GUANGZHOU, 18 Syawal 1442H, Ahad – Sebuah kawasan kejiranan di bandar selatan Guangzhou, China menguatkuasakan perintah berkurung selepas kes jangkitan COVID-19 meningkat di daerah itu. 

Dengan jumlah penduduk hampir 15 juta orang, pusat perindustrian di utara Hong Kong itu telah melaporkan 20 kes baharu COVID-19 dalam tempoh seminggu lalu. 

Satu notis dikeluarkan Biro Kesihatan Perbandaran Guangzhou pada Sabtu, yang mengenal pasti lima jalan di daerah Liwan sebagai kawasan berisiko tinggi dan mengarahkan penduduk untuk berada di rumah sehingga ujian saringan selesai. 

Susulan notis itu, semua sekolah, pasar dan tempat hiburan ditutup. 

Pemerintah bandar juga segera menjalankan ujian saringan secara besar-besaran dan sekitar 700,000 orang telah disaring setakat Rabu. 

Sebahagian besar wilayah China mengawal penyebaran virus dengan mengetatkan arahan kuarantin setelah berlaku peningkatan kes di negara jiran. 

Kluster yang muncul di Guangzhou dipercayai membabitkan seorang wanita berusia 75 tahun didapati positif varian baharu dikenal pasti dari India, kata pegawai kesihatan. 

Menurut angka terbaharu Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, jumlah jangkitan yang disahkan di China setakat ini adalah 91,061 kes dengan 4,636 kematian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button