Berita Utama

Jentera parti politik perlu bantu warga emas, kurang upaya ke pusat vaksinasi

Ketepi birokrasi, pacu pelan pemulihan negara secara inklusif

BANGI, 19 Syawal 1442H, Isnin – Kerajaan wajar mempertimbangkan mobilisasi kepakaran, idea dan kudrat dari seluruh segmen masyarakat ke arah mewujudkan kehidupan normal yang lebih baik susulan penularan wabak COVID-19.

Menyuarakan pandangan itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, krisis ini telah menjadi ancaman keselamatan yang lebih besar dari krisis kesihatan.

“Lalu marilah kita membuka ruang seluas-luasnya untuk mencari idea, strategi, pendekatan dan pengurusan paling baik, ampuh dan strategik untuk memulihkan negara.

“Bukalah ruang seluas-luasnya untuk cendekiawan terbaik, ahi perniagaan paling berjaya, teknokrat paling dihormati dan sesiapa jua yang mampu membantu.

“Lebih banyak saintis kita untuk melakukan lebih banyak ‘genome sequencing’. Lebih ramai ahli epidemiologi, perangkawan dan ahli matematik kita menilai pelbagai data,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Khaled mengajak ahli perniagaan mengeluarkan lebih banyak ‘testing kit’ dengan murah.

“Kita bawa teknokrat kita menguruskan vaksinasi agar lebih ramai pekerja kesihatan boleh fokus kepada kerja klinikal.

“Kita gemblengkan pelakon, penyanyi dan ‘social influencer’ negara untuk melancarkan kempen yakin vaksinasi. Malah berikan kepercayaan kepada pasukan tentera untuk membantu pelbagai ikhtiar vaksinasi dan saringan kita,” katanya.

Beliau turut berharap parti politik dapat menggunakan jentera parti masing-masing untuk membantu warga emas dan kurang upaya ke pusat vaksinasi, mendaftar vaksinasi atau menyalurkan apa jua bantuan yang termampu.

“Kita memerlukan satu sama lain dalam saat genting ini. Ketepikan segala birokrasi dan paculah pelan pemulihan negara ini secara inklusif.

“Ini adalah momen penting. Bukan sekadar ‘kita jaga kita’ tetapi juga ‘bantu sesama kita’,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button