Berita Utama

Kaji Perlembagaan! Fahami, hormati peranan institusi diraja

Generasi muda pandang remeh, tak hargai peranan Raja-Raja Melayu

BANGI, 19 Syawal 1442H, Isnin – Jangan sekali-kali mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan imej institusi diraja di negara ini!

Justeru, semua pihak perlu menghormati dan mempertahankan institusi diraja, selain tidak mempersoalkan perkara yang tidak sepatutnya, termasuk dalam urusan menangani pandemik COVID-19.

Yang Dipertua Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Bahagian Sepang, Yudi Kurniawan Budi berkata, beliau bimbang dengan generasi hari ini yang dilihat cetek pemahaman, kurang pengetahuan dan hilang minat terhadap institusi beraja.

Lebih menyedihkan, katanya, ada di kalangan mereka yang memandang remeh, tidak menghargai peranan dan menganggap institusi diraja negara sudah tidak relevan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita cukup mengenali Yang di-Pertuan Agong sebagai raja berjiwa rakyat, sentiasa menitikberatkan kepentingan rakyat serta sentiasa memberikan nasihat baginda kepada kerajaan untuk kebaikan dan kepentingan negara.

“Wujudnya golongan yang ada kepentingan peribadi dengan menyalahgunakan platform media sosial, menyebarkan berita palsu dan tohmahan terhadap institusi diraja sehingga tiada lagi hormat serta adab,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Yudi menggesa semua pihak supaya mengkaji sistem yang ada dan membaca serta menilai setiap kandungan Perlembagaan dengan lebih mendalam berhubung peranan Raja-Raja Melayu di negara ini.

Beliau berkata demikian mengulas penahanan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang didakwa menghina dan mempersendakan Yang di-Pertuan Agong, baru-baru ini.

“Kita memandang serius isu ini kerana ia menyentuh soal institusi beraja yang dijamin dalam Perlembagaan iaitu Raja Berperlembagaan.

“Lebih mendukacitakan, perbuatan itu dilakukan oleh golongan terpelajar dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri,” katanya.

Katanya, institusi diraja telah wujud sejak berabad lamanya dalam sistem sosial orang Melayu dan Islam.

Maka, setiap lapisan masyarakat perlu memahami supaya sentiasa menghormati institusi diraja kerana ia adalah salah satu teras dalam struktur pentadbiran negara.

“Sebelum kedatangan Barat ke tanah Melayu, masyarakat tempatan hanya mengenali sistem beraja dalam urusan pemerintahan negara.

“Daripada perkataan ‘raja’ inilah munculnya ‘kerajaan’, suatu istilah yang merujuk kepada pemerintahan sebuah negara yang berorganisas dan diguna pakai hingga kini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button