Berita Utama

Lebih 80,000 bayi, kanak-kanak dijangkiti COVID-19

19,851 kes melibatkan golongan berusia daripada 0 hingga 4 tahun

PUTRAJAYA, 19 Syawal 1442H, Isnin – Malaysia merekodkan seramai 82,341 kanak-kanak dan bayi dijangkiti COVID-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Daripada jumlah itu, katanya 19,851 kes melibatkan golongan berusia daripada 0 hingga 4 tahun, 8,237 (5 hingga 6 tahun), 26,851 (7 hingga 12 tahun) serta 27,402 (13 hingga 17 tahun) dan mereka adalah pesakit COVID-19 kategori 1, 2 dan 3.

“Tiada yang di ICU (unit rawatan rapi),” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, di sini hari ini.

Bimbang dengan statistik tersebut, Dr Adham menasihatkan ibu bapa atau penjaga untuk bertanggungjawab melindungi golongan berkenaan daripada dijangkiti seperti tidak membawa anak-anak mereka ke tempat yang sesak.

Menurutnya, walaupun tiada peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang membolehkan kompaun dikenakan kepada ibu bapa yang membawa anak ke tempat sesak, namun kertas siasatan boleh dibuka.

Mengenai jumlah ujian saringan yang dilaksanakan bagi tempoh 23 hingga 29 Mei, beliau berkata sebanyak 774,863 individu di seluruh negara menjalani ujian tersebut dengan 53,419 individu didapati positif COVID-19.

Berikutan situasi peningkatan mendadak kes baharu ketika ini, Dr Adham berkata pihaknya bercadang memperluaskan ujian saringan menggunakan kaedah Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dengan bantuan kerajaan negeri.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) akan meningkatkan ujian saringan bagi kontak rapat khususnya di Lembah Klang dengan mewujudkan pusat-pusat pensampelan dalam komuniti,” katanya.

Bagi meningkatkan pengesanan kes positif COVID-19 dalam komuniti, beliau berkata pihaknya akan meningkatkan pemantauan ke atas semua kes bergejala yang mendapat rawatan di fasiliti kesihatan KKM serta mereka yang mempunyai sejarah penyakit komorbid tanpa mengira usia.

Dr Adham turut melahirkan kebimbangan terhadap risiko kematian akibat COVID-19 iaitu 0.45 peratus atau 45 pesakit daripada 10,000 kes positif berhadapan risiko kematian berdasarkan kadar yang direkodkan ketika ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button