Berita UtamaDunia

Mesir longgarkan sekatan COVID-19

Hasil pelancongan merosot 70 peratus sejak wabak melanda

KAHERAH, 19 Syawal 1442H, Isnin – Mesir akan menarik semula sekatan yang dikenakan pada bulan ini bagi mengekang penyebaran coronavirus, termasuk penutupan awal kedai dan restoran mulai Selasa ini, kata Kabinet.

Sejak 6 Mei, kedai, pusat membeli-belah dan restoran perlu ditutup pada jam 9 malam susulan peningkatan jangkitan.

Mesir mengenakan langkah tegas pada awal pandemik, menutup ruang udaranya dan menetapkan perintah berkurung pada waktu malam setiap hari bagi memerangi penularan virus itu.

Semalam Kabinet berkata, sebagai sebahagian daripada usaha menyelamatkan sektor pelancongan, pihaknya melengkapkan pemvaksinan pekerja di semua hotel di wilayah Sinai Selatan dan Laut Merah serta merancang untuk memvaksinasi semua penduduk di dua pusat peranginan Hurghada dan Sharm el-Sheik.

Hasil pelancongan – sumber mata wang asing yang penting bagi Mesir – merosot 70 peratus pada tahun 2020 disebabkan oleh pandemik coronavirus.

Pelancongan kebiasannya merangkumi hingga 15 peratus daripada produk domestik kasar.

Mei lalu, Menteri Pelancongan dan Antikuiti, Khaled El-Enany berkata, Mesir optimis mengalu-alukan lebih ramai pengunjung tahun ini dengan jumlah yang meningkat secara berterusan sejak Januari hingga sekitar setengah juta pelancong sebulan.

Mesir secara rasmi mengesahkan 260,659 kes coronavirus termasuk 15,001 kematian pada hari Sabtu.

Bagaimanapun, pegawai dan pakar mengatakan jumlah sebenar jangkitan jauh lebih tinggi, namun tidak digambarkan dalam angka kerajaan kerana kadar ujian rendah dan pengecualian hasil ujian swasta. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button