Dunia

Mesir rancang persidangan antarabangsa untuk bangun semula Gaza

Persidangan penderma antarabangsa itu akan diadakan atas undangan Mesir

RAMALLAH, 19 Syawal 1442H, Isnin – Mesir merancang menganjurkan persidangan penderma antarabangsa bagi pembangunan semula Semenanjung Gaza, menurut anggota kanan kumpulan Fatah, Palestin.

“Persidangan penderma antarabangsa itu akan diadakan atas undangan Mesir,” kata anggota Jawatankuasa Pusat Fatah, Azzam al-Ahmed kepada Agensi Anadolu.

Namun, tarikh persidangan belum ditetapkan.

“Pihak Berkuasa Palestin sudah mula menilai kos kerosakan di Gaza akibat pencerobohan Israel,” kata al-Ahmad.

Pada Ahad, Presiden Palestin Mahmoud Abbas bertemu ketua perisik Mesir, Abbas Kamel di Ramallah untuk berbincang mengenai gencatan senjata di Gaza antara Hamas dan Israel, dan pembinaan semula wilayah Palestin. Kunjungan itu dibuat ketika Menteri Luar Israel Gabi Ashkenazi tiba di Kaherah untuk berbincang dengan pegawai Mesir.

“Perbincangan antara Abbas dan Kamel membincangkan untuk memantapkan gencatan senjata di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis, termasuk menamatkan pengusiran keluarga [Palestin] dari kawasan Sheikh Jarrah dan Silwan,” kata al-Ahmad.

Gencatan senjata dengan Mesir sebagai perantara dipersetujui pada 21 Mei mengakhiri serangan Israel selama 11 hari di Semenanjung Gaza.

Serangan Israel di Gaza dan Tebing Barat mengorbankan sekurang-kurangnya 289 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, dan meninggalkan kesan kemusnahan. Pusat kesihatan dan pejabat media serta sekolah antara yang menjadi sasaran. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button