Berita Utama

Dong Zong biadab mahu kerajaan iktiraf UEC meski lebur jati diri

UEC akibatkan generasi muda buta sejarah, lupa asal usul mereka

BANGI, 9 Zulhijjah 1441H, Khamis – Pertubuhan radikal Cina – Dong Zong yang tetap konsisten dengan pendirian mereka mahu kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kelihatan amat biadab.

Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kangar, Noorzamri Ibrahim menyifatkan, tindakan berkenaan adalah satu bentuk pencabulan terhadap kedaulatan negara dan keluhuran Perlembagaan.

Kesal dengan perkara itu, beliau turut mempersoalkan kaedah sesuai untuk memupuk semangat cintakan tanah air, sekiranya peperiksaan yang berasaskan acuan sistem pendidikan negara asing itu diiktiraf.

“Hakikat sungguh janggal apabila negara ini masih mempunyai sistem pendidikan terpisah antara kaum yang dilahirkan melalui sistem persekolahan vernakular di zaman penjajah walaupun sudah merdeka.

“Sistem vernakular yang mempertahankan identiti bangsa asal dengan perantaraan bahasa ibunda merupakan sistem yang direstui penjajah, kerana sangat membantu usaha mereka untuk terus berkuasa dan mengekalkan pengaruh dengan melemahkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum,” katanya.

Pada masa sama, Noorzamri berkata, dasar UEC yang dilahirkan itu bukan sahaja akan meleburkan jati diri dan keagungan sejarah, malah turut akan mengakibatkan generasi muda buta sejarah dan lupa asal-usul mereka.

Malah, katanya, tuntutan terhadap kaligrafi selain Jawi hanya akan menggalakkan sifat dengki serta usaha berterusan untuk mencabar identiti dan sejarah asal-usul negara ini, selain Perlembagaan yang mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

Terdahulu, memetik laporan akhbar berbahasa Cina, Orientaldaily, Mesyuarat Agung Dong Zong meluluskan tujuh resolusi yang mana antaranya termasuk menuntut pengenalan tulisan Jawi di sekolah dilaksanakan seiring dengan pengenalan seni kaligrafi kaum lain.

Manakala, enam lagi resolusi lain yang diluluskan adalah mengenai semakan semula Akta Pendidikan 1996, menubuhkan jawatankuasa pemantau pendidikan serta penyaluran peruntukan secara adil kepada semua jenis aliran pendidikan.

Pertubuhan pendesak itu turut menuntut kerajaan menyegerakan pengiktirafan UEC, mengembalikan status perundangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan pengecualian cukai tambahan ke atas pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dan institusi pendidikan persendirian.

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button