Berita Utama

Pertingkat ‘mass testing’ elak risiko kematian COVID-19 terburuk

Tok Mat syor kerajaan turunkan segera harga ujian RT-PCR, RTK-Ag

BANGI, 19 Syawal 1442H, Isnin – Malaysia mesti mempertingkatkan ‘mass testing’ pada skala radikal sebagai salah satu pendekatan terpenting bagi mengelakkan risiko kematian terburuk akibat COVID-19.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selain program vaksinasi, kerajaan perlu mempertimbangkan juga pelaksanaan ujian yang luas untuk mengelakkan ramalan 420 kematian direkodkan sehari menjelang 1 September menjadi kenyataan.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah awal dengan menurunkan segera harga untuk ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Rapid Testing Kit-Antigen (RTK-Ag).

“Harga saringan yang terlalu tinggi membantutkan pengawalan wabak ini. Janganlah ada pihak yang mengaut keuntungan dari musibah yang tragis ini.

“Pembatasan harga ujian ini akan menjadikan saringan mudah, murah dan sesuai kemampuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, langkah itu adalah antara kaedah paling mudah untuk mengesan kes positif dan mengawal penularan.

Melalui saringan itu, beliau berkata, ia menggalakkan lebih banyak pengasingan kendiri di rumah dan mendapatkan rawatan awal jika perlu.

“Di kebanyakan negara Barat, kit ujian saringan disediakan dengan banyak dan murah serta boleh dilakukan secara kendiri.

“Malah, dengan kemajuan teknologi, ketepatan ujian RTK Ag telah meningkat dengan sangat baik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan boleh menggembleng kepakaran pemain perniagaan terbaik Malaysia untuk menghasilkan RTK Ag kit pada harga paling murah bagi keperluan umum.

Katanya, Malaysia mesti menjadikan kaedah ujian sebagai suatu kebiasaan baharu sebagaimana di Jerman, di mana kebanyakan keluarga melaksanakan secara kendiri sebanyak dua kali seminggu.

“Malah, dengan ‘testing’ menjadi kebiasaan, sekolah dan universiti boleh secara perlahan dibuka. Semua pelajar boleh melakukan testing kendiri setiap Ahad atau Isnin sebelum memulakan persekolahan.

“Pandemik adalah peperangan yang mesti dimenangi semua. Mengabaikan testing tidak akan membantu mengurangkan kebolehjangkitan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button