Artikel KhasBerita UtamaKolumnis

Sampai bila penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu terus dibiarkan?

Malaysia patut contohi Thailand dalam melindungi kedaulatan raja

PENGHINAAN ke atas institusi Raja-Raja Melayu, termasuk pemimpin nombor satu negara, Yang DiPertuan Agong (YDPA) sudah menjadi biasa.

Dahulu, jarang sangat kedengaran. Tetapi kini, menjadi kebiasaan. Lebih-lebih lagi sejak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

Kita menjadi hairan kenapa ultra kiasu ini begitu berani sedangkan mereka tahu ada ada hukuman (walaupun tidak berat) bakal dikenakan?

Mesti ada perancangan tertentu di sebalik semua kejadian ini.

Cuba buat carian penghinaan terhadap raja Thailand, kita akan ketemu hukuman-hukuman yang dikenakan seperti penjara 6 tahun, 18 tahun, 20 tahun dan 43 tahun. Ada yang dikenakan sehingga 87 tahun.

Begitulah seriusnya negara lain menjaga institusi monarki mereka. Negara kita bagaimana?

Penghinaan bukan dibuat sekali dua, tetapi banyak kali. Seolah-olah tidak ada pengajaran yang diambil.

Penghinaan dilakukan dalam kalangan rakyat negara ini sendiri, bukan orang luar.

Kalau tengok media sosial dalam bahasa bukan Melayu dalam bahasa mereka, lagi teruk. Bukan main lagi mereka mencerca dan mengutuk.

Kenapa terus dibiarkan?

Jika ada yang ditangkap dan didakwa nanti, maka bertempeklah pejuang-pejuang hak asasi manusia dan ultra kiasu mahukan mereka dibebaskan tanpa syarat. Apakah budaya seperti ini patut dibiarkan?

Terbaharu, salah seorang pemimpin ultra kiasu Melayu dengan bukti yang nyata menghina Yang DiPertuan Agong. Media ultra kiasu melaporkan ahli parti sahaja, bagi tujuan mengendurkan dan menjaga nama baik parti itu.

Walhal sebenarnya individu itu sudah boleh dikategorikan sebagai pemimpin. Ini bukan pertama kali ahli/pemimpin parti ini berkelakuan sedemikian?

Apakah mungkin mereka turut bersekongkol untuk mewujudkan negara republik seperti ultra kiasu?

Apabila perkara ini tular, maka pemimpin tertinggi dengan segera berkata, itu bukan suara parti, itu suara individu.

Mudah sangat jawapannya kan? Untuk mengelakkan daripada setitik nila rosak susu sebelanga.

Ini bukan kali pertama mereka dalam kalangan pemimpin/ahli parti ultra kiasu ini mengeluarkan kenyataan menghina raja-raja Melayu. Saya tidak fikir mereka akan hina, jika ada ‘raja dalam kalangan bangsa mereka’. Malangnya, semua raja di negara asal usul sudah lenyap.

Kita tidak nafikan raja-raja perlu ditegur kerana mereka juga adalah manusia biasa, ada nafsu seperti manusia yang lain.

Kadangkala, mereka juga terlanjur akhlaknya, turut merebut kekayaan dan sebagainya, tetapi teguran biarlah beradab.

Kita tidak menafikan hak kebebasan bersuara seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, namun semua ada hadnya.

Saya (rakan-rakan lain) pernah mencadangkan diwujudkan undang-undang keras untuk mengekang penghinaan raja seperti undang-undang Lese Majeste di Thailand.

Namun, ada suara-suara sumbang berpendapat, kedudukan raja Melayu di Malaysia berbeza dengan raja Siam di Thailand.

Apa bezanya? Raja tetap raja. Semua itu sudah ditakdirkan.

Sampai bila penghinaan sebegini patut dibiarkan? Buatlah sesuatu yang boleh mengekang semua ini, dengan memberi pengajaran supaya mereka serik.

Perlu diingat, raja-raja Melayu adalah bukan sekadar pemimpin nombor satu negara, tetapi adalah satu simbol sejarah kedaulatan negara ini. Negara yang berakar umbikan Melayu, yang diperintah oleh raja-raja Melayu. Hilang raja, lenyaplah kedaulatan Islam dan Melayu.

Lebih unik lagi, pernah kita bertanya dan mencari jawapannya, kenapa kita ada sehingga sembilan raja-raja Melayu berbanding dengan negara-negara lain di dunia ini, yang ada hanya satu, tidak seramai kita?

Ini semua sejarah. Ultra kiasu tahu atau tidak semua sejarah ini? Jika jahil, mari kita ajarkan.

Adakah sejarah ini diajar di Sekolah Persendirian Cina. Kenapa kita ada seramai sembilan raja-raja Melayu, bukan satu? Benar, satu hanya akan dilantik sebagai YDPA setiap lima tahun.

Ultra kiasu tidak mahu semua ini, sebab mereka tidak mahu dikaitkan negara ini dengan identiti Melayu.

Justeru, sudah sampai masanya kita bertindak dengan menggubal undang-undang bagi mengenakan hukuman yang lebih keras.

Undang-undang dan peraturan sedia ada masih belum mencukupi untuk menghalang penghinaan ini.

Justeru, undang-undang baru perlu digubal bagi menangani dan membendung perbuatan yang langsung tidak mencerminkan rakyat Malaysia.

Saya merayu kepada pemimpin negara ini. Buatlah sesuatu.

Benda ini nampak kecil, kerana berupa penghinaan, tetapi implikasi sangat besar terhadap strategik licik ultra kiasu untuk merosakkan negara ini.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan yang meletakkan raja sebagai kuasa tertinggi, penghinaan kepada institusi raja hendaklah dilihat sebagai satu kesalahan besar dan tidak boleh dipandang remeh.

Jika tidak, pasti insiden seperti ini akan terus berulang dan berulang.

Kepada raja-raja Melayu, ampun Tuanku, patik mohon maaf jika terlanjur bicara. Patik pacal yang hina, hanya ingat berpesan, jagalah diri, jagalah keluarga, jagalah akhlak berpasakkan akhlak Islam.

InsyaAllah, selagi pasak itu ada, selagi itulah rakyat akan terus menjunjung kasih dan mempertahankan duli-duli Tuanku. Jika tidak, sukar bagi patik pacal yang hina untuk sama-sama mempertahankan apabila timbul lagi isu-isu sebegini.

Ingatlah, junjungan dan penghormatan itu datang daripada contoh teladan yang mulia. Contohilah akhlak Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat kerana itulah asas kesetiaan raja-rakyat, berpisah tiada.

Apa yang ditinggalkan Baginda dan para sahabat apabila telah tiada, melainkan akhlak mulia yang menjadi ikutan pemimpin-rakyat seterusnya.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button