Berita Utama

Sekatan penuh: Semua urus niaga kaunter JPN ditangguh mulai 1 Jun

Hanya beberapa urusan kes kecemasan tertentu sahaja dikecualikan

BANGI, 19 Syawal 1442H, Isnin – Semua urus niaga di kaunter pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) ditangguhkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Jun hingga 14 Jun.

JPN dalam kenyataan memberitahu, hanya beberapa urusan kes-kes kecemasan tertentu sahaja akan diberi pengecualian.

Ini antaranya gantian MyKad rosak atau hilang bagi kes kecemasan seperti urusan bank dan rawatan perubatan dan sijil kematian untuk prosedur penghantaran pulang jenazah warga asing yang meninggal dunia di Malaysia ke negara asal.

Selain itu, urusan pendaftaran atau cabutan sijil kelahiran bagi tujuan rawatan perubatan dan anak kepada warga asing yang lahir di Malaysia bagi tujuan prosedur membawa pulang ke negara asal juga dibenarkan.

“Manakala, bagi upacara perkahwinan di Pejabat JPN dan di rumah ibadat, urusan tersebut turut ditangguhkan sehingga tamat tempoh PKP kecuali kes-kes kecemasan yang memerlukan upacara dibuat segera seperti tarikh upacara yang akan tamat tempoh enam bulan daripada tarikh permohonan atau kes-kes kecemasan lain yang perlu dirujuk kepada JPN.

“Bagi pelanggan yang telah mempunyai janji temu dalam tempoh PKP ini, mereka akan dihubungi oleh pihak JPN bagi penjadualan semula tarikh berkenaan,” katanya hari ini.

Jabatan itu turut menasihatkan orang ramai menggunakan perkhidmatan dalam talian JPN untuk memohon dokumen-dokumen yang diperlukan.

“Sekiranya terdapat pertanyaan, permohonan mendesak atau kes-kes kecemasan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan JPN atau emailkan pertanyaan ke [email protected]

“Orang ramai juga boleh melayari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button